fbpx

UPM kini berada di kedudukan 143 ranking QS dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PRODUK-PRODUK berasaskan eucalyptus diusahakan oleh warga Kolej 14, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang sejak tahun lalu.

PETALING JAYA – Universiti Putra Malaysia (UPM) akan terus memperkasakan program pengantarabangsaan universiti itu selari dengan kedudukannya pada ranking ke-143 QS World University Ranking dan ke-27 dalam QS Asia University.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman berkata, pengantarabangsaan adalah cara yang mampan untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan usaha itu berfungsi dengan baik melalui kerjasama strategik yang dijalin dengan institusi luar negara.

“Sekatan pergerakan fizikal akibat pandemik Covid-19 tidak menghalang usaha pengantarabangsaan UPM. Aktiviti yang pernah dijalankan dalam persekitaran fizikal telah ditukar secara kreatif kepada mod dalam talian.

“UPM kini mempunyai 198 kolaborator antarabangsa dari seluruh dunia termasuk di Amerika Utara dan Eropah. Dengan 198 perkongsian pertukaran di 40 negara, UPM sentiasa berharap untuk mengembangkan portfolio mobiliti pelajarnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Mohd. Roslan berkata, pengantarabangsaan turut menyumbang kepada peningkatan pelajar luar negara melawat UPM melalui program mobiliti seperti pertukaran semester, latihan amali, penyelidikan serta lawatan.

Menurut beliau, UPM juga terbuka menerima pensyarah pelawat di kampusnya melalui program mobiliti kakitangan dan usaha itu dapat meningkatkan pembangunan akademik, penyelidikan dan inovasi yang berkualiti serta kepakaran.

Kata beliau, di samping itu terdapat program khusus yang ditawarkan dengan penekanan kepada pembangunan kemahiran dalam bidang kepimpinan, komunikasi, keusahawanan dan latihan sukan untuk profesional dari seluruh dunia.

Dalam pada itu, katanya, UPM telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Ajman Emiriah Arab Bersatu pada 16 Disember 2021.

Katanya, universiti itu kemudian menerima delegasi UPM di kampus mereka di mana kedua-dua pihak mengadakan perbincangan mendalam tentang perjalanan ke hadapan untuk kerjasama masa depan.

“Sama seperti perkongsian yang dijalin dengan institusi luar negara lain, MoU ini mewujudkan kerjasama yang akan membangunkan pelbagai aspek akademik.

“Saya yakin institusi ini (UPM) mempunyai potensi yang besar untuk menambah baik dan mengekalkan pendidikan berkualiti yang akan memberi manfaat kepada negara secara keseluruhan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI