LONDON – Meskipun terlepas peluang untuk mencatat sejarah dengan meraih gelaran dunia Formula Satu (F1) buat kali kelapan, namun Lewis Hamilton menerima pengiktirafan daripada Istana Windsor sebagai pengubat kecewa.
Pelumba berusia 36 tahun tersebut diumumkan berada dalam senarai penerima anugerah berkenaan sejak awal tahun ini berikutan sumbangannya kepada sukan permotoran selepas menampilkan aksi cukup baik.
Kelmarin menyaksikan pemandu sensasi Britain tersebut secara rasminya dianugerahkan Pingat Kesatria yang membawa gelaran ‘Sir’ oleh Putera Charles.
Hamilton menjadi salah seorang pelumba terbaik sepanjang zaman apabila kini meraih 103 kemenangan Grand Prix (GP) sekali gus mengatasi rekod jumlah kemenangan GP yang dicatat legenda Formula Satu (F1), Michael Schumacher biarpun berkongsi tujuh kejuaraan dunia.
Dia hadir sambil ditemani ibunya, Carmen Lockhart, namun enggan ditemu bual oleh wartawan selepas berakhirnya majlis tersebut.
Ahad lalu, pencabar kejuaraan dunia musim ini, Max Verstappen meraih kejuaraan sulung F1 selepas bertarung sengit sepanjang tahun dengan pemandu Mercedes itu apabila muncul juara di Abu Dhabi.
Hamilton merupakan pelumba F1 keempat yang menerima anugerah kesatria sekali gus mengikut jejak langkah Jack Brabham dari Australia dan dua pelumba United Kingdom, Stirling Moss serta Jackie Stewart. – AGENSI