fbpx

Pengarah syarikat forex didakwa gubah wang haram RM470,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norman (tengah) selepas pendakwaan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Seorang pengarah sebuah syarikat pelaburan mata wang asing (forex) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM470,000, tahun lalu.

Tertuduh, Norman Zakaria, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengarah syarikat Essence Pro Services telah memindahkan wang berjumlah RM470,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dari sebuah akaun milik syarikat itu kepada akaun sebuah syarikat lain.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank, Seksyen 14 di sini pada 6 November tahun lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut subseksyen 4(1)(b)Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) dan dibaca bersama subseksyen 87 (1) Akta 613 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4 (1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5juta mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fairuz Syuhada Amran dan Vivien Yeap Jie Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 bersama seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 20 Januari tahun depan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI