fbpx

Beri perhatian serius impak peningkatan suhu global – MAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) mempengerusikan mesyuararat MAN di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Mesyuarat Ketiga Majlis Air Negara (MAN) 2021 hari ini menekankan bahawa negara perlu memberi perhatian serius terhadap impak peningkatan suhu global melebihi 1.1 darjah Celsius yang mengakibatkan musim kering dan kekerapan kejadian banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat menyarankan supaya tindakan mengambil kira faktor kesan perubahan iklim dilaksana segera dalam perancangan pembangunan supaya negara dapat mengelak peningkatan kerosakan harta benda dan juga kehilangan nyawa pada masa hadapan.

Selain itu, katanya, mesyuarat turut menegaskan agenda transformasi sektor air yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sehingga RMK-15.

“Agenda ini akan menjadikan sektor air sebagai pemboleh daya ekonomi serta penjana pertumbuhan yang dinamik menjelang tahun 2040.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah amat penting dalam memastikan agenda transformasi tersebut berjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, pada mesyuarat itu, MAN telah mempertimbang dan bersetuju dengan tiga kertas pertimbangan yang telah dibentangkan.

Pertama, menurut beliau, adalah Pewartaan Perizaban Tanah Kerajaan Untuk Pengekalan Kolam Takungan Banjir dan Rizab Sungai kerana kepesatan proses perbandaran di negara menyebabkan banjir kerap berlaku ketika hujan lebat.

“Gangguan kepada fasiliti atau komponen ini akan menjejaskan keseluruhan sistem tebatan banjir yang merangkumi komponen utama sungai dan kolam takungan banjir.

“Cadangan pewartaan perizaban tanah kerajaan adalah bertujuan untuk memastikan pengekalan fungsi kolam takungan banjir dan rizab sungai, menjamin kualiti sumber air bersih dan juga memulihara alam sekitar,” katanya.

Kertas pertimbangan kedua, ujar Ismail Sabri, adalah Aras Lindung Selamat Reka Bentuk Infrastruktur Pantai Akibat Kesan Perubahan Iklim dan Kenaikan Aras Laut.

Jelasnya, fenomena perubahan iklim dan kenaikan aras laut yang sedang dan akan terus berlaku bakal menyebabkan kejadian ekstrim seperti banjir, musim kering, kenaikan aras laut dan pusuan ribut yang berisiko menyebabkan bencana kepada kawasan pesisir pantai.

“Tindakan dan adaptasi aras lindung pantai bagi jangka pendek, sederhana dan panjang melalui kaedah struktur atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi perlu mengambil kira faktor perubahan iklim dan kenaikan aras laut dalam perancangan dan pembinaan.

“Ia supaya aras lindung pantai tersebut mampu menangani bencana ekstrem bagi mengurangkan impak bencana dan menjamin kelestarian sosio-ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kertas pertimbangan ketiga ialah Kerjasama Pelaksanaan Inisiatif Air Pulih Guna di antara Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. Dengan Syarikat Operator Air Negeri.

Jelasnya, Inisiatif Air Pulih Guna itu bertujuan mengoptimumkan sumber air negara sedia ada dan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar melalui konsep Ekonomi Kitaran dalam menguruskan sumber air negara.

“Penyediaan sumber air baharu untuk kegunaan industri bukan makanan adalah salah satu strategi oleh kerajaan sebagai langkah pemulihan dan pemeliharaan sumber air selain peluang mewujudkan sumber pendapatan tambahan syarikat operator air.

“Majlis Air Negara juga telah mengambil maklum dua kertas makluman iaitu Pembahagian Tanggungjawab Antara Jabatan Pengairan dan Saliran, Pihak Berkuasa Tempatan dan Agensi Lain Terhadap Sistem Saliran dan Garis Panduan Pembinaan Telaga Tiub untuk Tujuan Eksplorasi, Pemantauan dan Pengeluaran dalam Penggunaan Sumber Air Bawah Tanah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI