fbpx

Tengku Hassanal titah pencegahan kes buli dilakukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PEKAN – Kejadian buli yang berlaku di negeri ini mendapat perhatian Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar pihak terbabit khususnya Jabatan Pendidikan Pahang mengambil langkah segera memastikan keselamatan persekitaran di sekolah.

Baginda yang mezahirkan rasa kesal dan dukacita dengan kejadian buli yang berlaku itu bertitah kejadian buli yang didakwa berlaku di tiga buah sekolah iaitu di daerah Rompin, Maran dan Lipis itu tidak seharusnya berlaku.

Dalam mengatasi isu yang menimbulkan keresahan masyarakat itu baginda bertitah ibu bapa juga perlu memberi peringatan dan nasihat tanpa jemu kepada anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti membuli.

“Selain itu pentadbir sekolah juga perlu kerap mengadakan program kesedaran, keagamaan dan pendidikan sivik untuk menerapkan nilai positif dalam diri setiap pelajar,” titah baginda yang dilaporkan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-62 Sultan Pahang di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan tidak sampai 24 jam kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak tersebar, satu lagi kes dilaporkan berlaku di sebuah sekolah berasrama di Muadzam Shah, Rompin Pahang yang mengakibatkan empat pelajar cedera dan trauma selepas dijadikan ‘karung tinju’ oleh sekumpulan senior.

Kejadian itu didakwa berlaku pada Jumaat minggu lalu apabila kesemua mangsa berusia 14 tahun itu dikurung di dalam bilik sebelum dipukul, ditumbuk, disepak serta dikenakan hukuman rotan oleh sekumpulan pelajar tingkatan empat dan lima.

Semalam Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, polis telah menerima laporan kes buli melibatkan tiga buah sekolah di negeri ini dalam tempoh empat hari bermula 6 Disember lalu termasuklah melibatkan sebuah sekolah berasrama di Muadzam Shah di Rompin.

Katanya, pada masa ini siasatan giat dilakukan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan polis telah mengenal pasti pelajar terlibat tiga buah sekolah di Rompin, Maran dan Pekan itu.

Susulan daripada itu juga kerajaan negeri melahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan kejadian buli melibatkan pelajar sekolah di negeri ini yang masih terus berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kegagalan Kementerian Pendidikan mengatasi masalah itu amat mengecewakan apabila kes buli terus berulang.

Ujarnya kerajaan negeri sedia membantu Kementerian Pendidikan Malaysia seandainya mereka masih gagal mengatasi masalah seperti ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI