fbpx

Siapa kata FFM tiada prestij, tak bernilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZUL ARIFFIN, Fify Azmi dan Remy Ishak menjadi antara penjulang trofi berpestij FFM31 tahun ini.

FESTIVAL Filem Malaysia ke-31 (FFM31) akhirnya dilunaskan selepas dua tahun tergendala disebabkan beberapa permasalahan, terutamanya berpunca daripada pandemik Covid-19.

Akhirnya pada Jumaat lalu, Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjadi saksi acara yang diibaratkan sebagai ‘Oscar Malaysia’ yang mengiktiraf naskhah Roh, arahan Emir Ezwan sebagai Filem Terbaik, sekali gus mengenepikan saingan empat filem lain termasuk Fly By Night, Sangkar, Ejen Ali The Movie dan Geran.

Selain daripada trofi utama, Roh turut membawa pulang lima trofi lain termasuk kategori Lakon Layar Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Rekaan Busana Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.

FILEM bajet rendah, Roh arahan Emir Ezwan diwakili Amir Muhammad selaku penerbit eksekutif dijulang sebagai Filem Terbaik FFM31, sekali gus menerima Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000. – WHAM

Bajet rendah, filem terbaik

Sebagai Penerbit Eksekutif, Amir Muhammad tidak menyangka filem bajet rendah terbitannya berjaya meraih hadiah utama FFM31.

“Saya terharu apabila filem kecil ini dipilih. Alhamdulillah ini suatu peningkatan buat kami. Kami tidak buat filem mahal, kami bikin filem biaya rendah. Alhamdulillah, selepas 10 tahun tidak buat filem, kami berjaya membawa pulang anugerah ini

Amir berkata, Roh berjaya direalisasikan dengan gaya tersendiri imaginasi Emir Ezwan yang duduk di bangku pengarah.

“Imaginasi dan keupayaan Emir menjayakan aspek seni dalam filem ini sangat luar biasa. Biarpun pada awal ada yang cakap tidak suka kerana tidak faham jalan cerita, tetapi apabila ditayangkan, ramai orang suka.

“Ini menunjukkan kalau kita berikan variasi, ada penonton sambut, jadi jangan pandang rendah,” kata Amir.

ZUL ARIFFIN membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik.

Dibikin dengan bajet serendah RM360,000, Roh menjalani penggambaran selama 15 hari di lokasi rimba di Dengkil, Selangor. Roh dipilih mewakili Malaysia untuk pencalonan awal Anugerah Akademi Ke-93 bagi kategori Filem Antarabangsa.

Selain Roh yang bergaya pulang dengan enam buah trofi, sebuah lagi filem yang turut mencuri tumpuan adalah filem Sangkar, arahan pengarah prolifik, Kabir Bhatia.
Kabir yang pertama kali merangkul trofi utama itu sepanjang bergelar seorang pengarah menganggap kejayaan itu suatu pencapaian besar buatnya.

“Saya tidak sangka menang anugerah ini. Saya datang hanya untuk menyokong. Syukur ini adalah hasil kerja seluruh pasukan.

“Filem ini berjaya kerana gabungan skrip dan penghayatan setiap karakter. Mereka meletakkan jiwa dan perasaan dalam menjayakan filem ini. Bagaimanapun, saya datang bukan untuk bertanding. Saya cuma mahu membuat filem yang baik,” ujarnya.

REMY ISHAK anggap trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik memberikan satu kehidupan semula buat dirinya.

Prestij FFM, hidup semula

Paling mencuri tumpuan semestinya gandingan lelaki pujaan Malaya, Zul Ariffin dan Remy Ishak yang masing-masing buat kali pertama merangkul trofi emas dambaan setiap aktor, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Kejayaan itu digapai dua hero itu menerusi gandingan mantap bersama dalam filem Sangkar.

“Dahulu sebenarnya tak tunggu, sebab lepas arwah ayah saya pernah tanya ‘ini dah menang, itu dah menang’ tapi tak pernah menang satu anugerah yang berprestij di mata arwah ayah.

“Sejak daripada itu, saya mula fikir betullah apa arwah ayah cakap. Semua yang terlibat dalam FFM berstatus A-listers.

PASUKAN Sangkar mencuri tumpuan apabila pengarahnya, Kabir Bhatia menang trofi Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Zul Ariffin) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Remy Ishak).

“Saya dah empat kali pencalonan tak pernah menang tapi bila menang rasa sangat terharu. Jadi, bila memang malam ini, rasa macam jantung nak terkeluar, rasa kembali hidup” ujar Remy yang mendedikasikan trofi kemenangan buat Allahyarham bapanya, Ishak Idris.

Dalam pada itu, Zul Ariffin yang memegang watak utama dalam filem Sangkar sebagai Adam ‘The Ace’ Abdullah memanjatkan kesyukuran apabila diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik.

ISTERI kepada Nam Ron, Junainah M Lojong dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Roh.

“Ini pun cukup macam sebuah ‘oscar’ buat saya. Ini FFM ‘kot’. Alhamdulillah, terima kasih kepada Primeworks, Astro Shaw, Infinitus dan semestinya, Gayatri Su-Lin Pillai, Kabir dan Remy tahniah menang.

“Sangkar tentang kekeluargaan, kemaafan dan kesungguhan. Saya rasa, sangkar ada dalam diri kita semua,” kata Zul yang sebelum ini pernah merangkul Pelakon Harapan Lelaki menerusi persembahannya dalam filem Penanggal pada FFM26.

FAUZIAH Nawi mendedikasikan trofi dimenangi buat anaknya yang juga pengarah, Allahyarham Mohd. Firdaus Mohd. Hanif atau Pitt Hanif yang meninggal dunia pada Oktober 2019.

Nasihat Fauziah Nawi

Kemunculan Seniwati veteran, Fauziah Nawi ketika disanjung sebagai menerusi trofi Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman antara yang menarik pada FFM31.

“Paling seronok apabila anugerah ini diperoleh semasa hidup. Saya bersyukur kerana dapat anugerah ini. Ini benda yang saya tak pernah terfikir.

Fauziah, 68, berkata, anugerah yang dimenanginya didedikasikan buat anaknya yang juga pengarah, Allahyarham Mohd. Firdaus Mohd. Hanif atau Pitt Hanif yang meninggal dunia pada Oktober 2019.

PELAKON yang sedang meningkat naik, Fify Azmi melakar sejarah peribadi apabila meraih trofi Pelakon Harapan Wanita.

“Masuk dalam bidang ini, hati kena keras kerana ini pilihan yang saya buat. Malah, cucu saya (anak sulung Pitt) juga dah masuk kolej ambil jurusan filem.

“Kalau boleh saya tak nak dia ambil bidang itu kerana susah, dia kata ada minta jurusan lain tapi dapat jurusan filem juga.

“Dia memang nak jadi macam ayahnya. Cucu yang kedua pun dah berjinak-jinak dalam lakonan,” tutur Fauziah.

Dengan tema Citra Sinema, FFM31 disiarkan secara langsung menerusi TV2 dari Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dihoskan Awal Ashaari dan Sharifah Shahira, penganjuran FFM31 diadakan dengan penerapan norma baharu dalam meminimumkan risiko keselamatan dan mengekang penularan pandemik Covid-19.

MUS MAY turut diundang menyampaikan lagu tribut kepada seniman perfileman, Mamat Khalid yang telah pulang ke Rahmatullah.

Senarai pemenang FFM31:

Filem Terbaik
Roh

Pengarah Terbaik
Kabir Bhatia (Sangkar)

Pelakon Lelaki Terbaik
Zul Ariffin (Sangkar)

Pelakon Wanita Terbaik
Sinje Lee (The Garden of Evening Mists)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Remy Ishak (Sangkar)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Junainah M. Lojong (Roh)

Sinematografi Terbaik
Low Soon Keong (Fly By Night)

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
Putri Qaseh (Roh)

Lagu Tema Terbaik
Ayuhlah – Datuk Zainal Abidin (Suatu Ketika)

Penyunting Terbaik
Heng Yin Chau (Fly By Night)

Cerita Asal Terbaik
Tan Twan Eng (The Garden of Evening Mists)

Lakon Layar Terbaik
Emir Ezwan (Roh)

Pelakon Lelaki Harapan
Anding Indrawan (Headhunter)

Pengarah Harapan
Zahir Omar (Fly By Night)

Pelakon Wanita Harapan
Fify Azmi (Wira)

Anugerah Khas Juri
– Headhunter
– Geran
– Suatu Ketika

Filem Box Office
Ejen Ali The Movie

Penataan Seni Terbaik
Nazrul Asraff Mahzan (Sangkar)

Anugerah Khas Penggiat Belakang Tabir
Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab

Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman
Fauziah Nawi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI