fbpx

Malaysia rancang tubuh Pejabat Penasihat Pertahanan di Mesir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ikmal Hisham.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan merancang untuk mewujudkan Pejabat Penasihat Pertahanan di Mesir bagi mempertingkatkan diplomasi pertahanan di antara kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, bagi tujuan itu kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk menggunakan Penasihat Pertahanan Malaysia sedia ada di Pejabat Perwakilan Malaysia (Malawakil) berhampiran.

“Sama ada Malawakil berhampiran di Riyadh, Arab Saudi atau di Ankara, Tukri untuk ke Mesir bagi membantu sebarang urusan berkaitan hubungan pertahanan Malaysia dan Mesir,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) sama ada kerajaan bercadang mewujudkan semula atase tentera di Mesir bagi membantu memudahkan kemasukan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia ke Gaza bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Ikmal Hisham berkata, Malaysia belum pernah membuka Pejabat Penasihat Pertahanan di Mesir dan hanya ada Pejabat Penasihat Pertahanan di Arab Saudi serta Emiriah Arab Bersatu di Asia Barat.

Justeru, katanya, pembukaan Pejabat Penasihat Pertahanan di Mesir dilihat sebagai usaha Malaysia mendukung kertas putih pertahanan yang menitikberatkan ke arah diplomasi pertahanan.

Menurut beliau, diplomasi pertahanan sama ada pada peringkat bilateral atau multilateral akan memperluaskan hubungan kerjasama Malaysia dalam pelbagai bidang pertahanan.

“Ia seperti latihan ketenteraan, pendidikan ketenteraan dan industri pertahanan. Penasihat Pertahanan merupakan perantara daripada segi pertahanan dan keselamatan negara.

“Merupakan wakil kepada Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera dalam acara rasmi melibatkan pertahanan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI