fbpx

Suami isteri maut, van terbabas ketika elak babi melintas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Van yang dinaiki kedua-dua mangsa terbabas selepas mengelak seekor babi melintas jalan di Kilometer 63, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang hari ini. - FOTO: AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Percutian sepasang suami isteri ke Kelantan berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut manakala lima lagi cedera selepas van yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang selepas mengelak seekor babi yang melintas di Kilometer 63, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Abu Hasan Osman, 65, dan isterinya, Salbiah Ab. Latip, 58, yang duduk di tempat duduk penumpang belakang meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, pemandu van, Mohammad A. Rahman, 54, penumpang hadapan, Fadilah Mirasahib, 53, bersama penumpang belakang, Noraimi Mat Rejab, 45, Fatimah Zakiah Abd. Rahman 42, dan Amirul Azieq Mohammad, 13, mengalami kecederaan pada beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, semua mangsa yang berasal dari Tanjong Kling, Melaka dipercayai bercuti ke Kelantan dan sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang ke Tanah Merah dengan menaiki kenderaan itu.

Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, seekor babi dipercayai tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri jalan.

“Insiden itu menyebabkan pemandu van itu cuba mengelak daripada merempuh haiwan berkenaan sebelum terbabas ke dalam longkang di kiri jalan.

“Pasangan suami isteri itu dipercayai tercampak keluar daripada van dan disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Choon Foo, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat manakala lima yang lain dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dekat sini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI