SEORANG peniaga melalui detik-detik cemas dan menyeramkan ketika berada di kedai makan miliknya selepas didatangi satu lembaga besar dan menakutkan hingga dia menyangka ada pihak yang dengki dengan perniagaannya yang semakin maju.
Tanpa diketahuinya, ia adalah jin belaan pemilik kedai sebelumnya yang membuang mahkluk tersebut begitu sahaja.
Perkara itu diceritakan oleh seorang ustaz ketika lelaki itu cuba berubat dengannya selepas sering diganggu. Akhirnya dia menutup perniagaan dan mencari tapak baharu yang lebih selamat dan berjaya membuka dua cawangan terbaharu.
————————————————————————————————————————————————————————
PERISTIWA enam tahun lalu yang dialami Harun (bukan nama sebenar) sangat sukar untuk dilupakan kerana lelaki itu mengalami kerugian besar dalam perniagaan kedai makan selepas diganggu lembaga hitam dengan wajah menakutkan.
Harun, 39, tidak menyangka keputusan untuk pulang ke kampung selepas lima tahun mengusahakan perniagaan kedai makan di Kuala Lumpur memberi ‘kejutan’ besar buat dirinya dan isteri apabila diuji dengan gangguan tersebut.
Pasangan suami isteri itu sepakat untuk memulakan hidup baharu di kampung kerana ingin menjaga orang tua mereka yang uzur dan kebetulan pula, ada sebuah kedai kosong untuk dijual pada harga sangat berpatutan.
“Saya dan isteri sangat gembira kerana akhirnya dapat pulang ke kampung untuk memulakan perniagaan makanan, di samping memberi perhatian penuh kepada kedua-dua orang tua.
“Pada mulanya, kedai kami beroperasi lancar dan dikunjungi ramai sehingga terpaksa menambah pekerja bagi menampung jumlah pelanggan yang meningkat saban hari,” ujar anak sulung daripada empat beradik itu.
Sehingga suatu malam, Harun bersama isteri menyiapkan beberapa kerja di kedai tersebut dan dia terasa didatangi lembaga besar di belakangnya, sehingga bulu romanya tiba-tiba meremang.
“Saya perlahan-lahan menolah ke belakang, tetapi tiada apa-apa, lantas memanggil isteri untuk pulang memandangkan pada ketika itu hanya kami berdua di kedai.
“Pada awalnya, saya tidak mengendahkan perkara itu dan menganggap ia mainan perasaan, tetapi ada kejadian pelik menimpa kami iaitu nasi serta pelbagai makanan menjadi basi walaupun baru siap dimasak,” cerita bapa kepada tiga cahaya mata itu.
Tidak terhenti di situ, Harun juga berasakan badannya lemah dan bisa-bisa sehingga kaki menjadi bengkak serta sukar berjalan, tetapi doktor tidak menemui punca penyakitnya.
Jelasnya, awalnya dia menyangka kejadian itu disebabkan oleh perbuatan khianat kerana hasad dengki manusia yang tidak senang melihat perniagaannya semakin maju.
Paling tidak boleh dilupakan, makhluk itu menunjukkan wajah asalnya yang besar dan berbulu lebat kepada Harun ketika di rumah.
Tidak tahan dengan segala gangguan itu, dia meminta bantuan seorang ustaz bagi merungkai misteri tersebut.

“Ustaz itu memberitahu, ada ‘penunggu’ di kedai tersebut yang mahu saya menjadi tuannya, memandangkan ia dibiarkan tidak bertuan sejak sekian lama.
“Peristiwa misteri itu terjadi kerana saya tidak mengendahkannya dan ia mula menjadi marah lalu cuba memporak-perandakan hidup serta perniagaan saya,” ujarnya.
Lebih mengejutkan Harun apabila seorang penduduk di situ berkongsi kisah salah seorang pemilik kedai tersebut yang tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal.
Menurut cerita orang kampung, kedai tersebut sering bertukar pemilik kerana tidak tahan terkena gangguan ekoran perbuatan pemilik asal premis itu yang meninggalkan jin belaannya di situ.
Jika permintaannya tidak dilayan, ia akan mula merosakkan hidup orang tersebut dan itu dialami beberapa penyewa kedai sebelum ini sehingga ia kosong selama beberapa tahun.
“Saya sangat terkejut mendengarkan cerita itu. Selepas berfikir panjang, saya menghentikan operasi kedai kerana tidak mahu terus dihantui perkara buruk walaupun terpaksa menanggung kerugiaan besar.
“Saya terus kuatkan semangat untuk meneruskan perniagaan di tempat lain.
“Berkat kesabaran, saya kini mempunyai dua cawangan restoran makanan fusion Barat dan tempatan,” tutur pemegang Diploma Seni Kulinari dari sebuah pengajian tinggi awam.
—————————————————————————————————————————————————————————-
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.














