PETALING JAYA – Enggan menanggung kerugian kerana penyewa tiba-tiba lari menjadi penyebab utama pemilik rumah membuat syarat hanya penjawat awam yang dibenarkan untuk menduduki kediaman mereka.
Seorang ejen hartanah yang dikenali sebagai Zaki berkata, kebanyakan pemilik rumah sewa ketika ini telah membuat ketetapan tersebut sebagai jaminan kepada mereka.
“Ramai yang hilang kerja sebelum ini, jadi ramai pemilik rumah yang takut keadaan di mana penyewa lari tanpa membayar tunggakan sewa.
“Banyak rumah sewa yang saya uruskan memang meletakkan syarat tersebut sekarang, seperti trend baharu. Kami juga tidak mahu menanggung tunggakan sekiranya penyewa lari,” jelasnya.

Namun katanya, syarat tersebut kedengaran seperti kejam dan tidak sepatutnya berlaku ketika ramai rakyat negara ini sedang susah ketika ini.
Jelasnya, ramai juga penyewa yang bekerja sendiri seperti berniaga atau individu yang baharu bekerja sukar untuk mendapatkan rumah sewa terutamanya di Kuala Lumpur.
“Sebenarnya saya faham, ramai yang memerlukan kediaman dan dalam masa sama ramai juga lagi yang tidak mampu untuk membeli kediaman sendiri.
“Jadi rumah sewa menjadi pilihan. Memang tidak pelik sekarang kalau ada tuan rumah yang mahu lihat penyata gaji penyewa terlebih dahulu untuk memberi keyakinan kepada mereka,” ujarnya. -K! ONLINE














