fbpx

Terengganu dilengkapi 21 stesen siren amaran awal banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Osman memberikan taklimat sistem siren amaran awal banjir yang dipasang di Kampung Pengkalan Ajal, hari ini.

HULU TERENGGANU – Sebanyak 21 stesen siren amaran awal banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu di seluruh negeri berada dalam keadaan siap sedia sepanjang monsun Timur Laut yang akan berlarutan sehingga Mac tahun depan.

Timbalan Pengarah Pembangunan JPS Terengganu, Osman Abdullah berkata, sistem itu membolehkan penduduk setempat melakukan persediaan awal bagi menghadapi banjir termasuk berpindah segera ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Daerah Setiu paling banyak mempunyai stesen siren amaran awal banjir ini dengan enam stesen, diikuti Hulu Terengganu (lima), Kemaman (empat), Besut (tiga) dan masing-masing satu di Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

“Bunyi dikeluarkan dari stesen ini boleh didengari sekitar radius satu kilometer dalam dua keadaan bunyi iaitu aras amaran (air sungai meningkat dari aras biasa) dan bahaya (air mula mencecah tebing),” katanya selepas memberi taklimat persiapan banjir di Kampung Pengkalan Ajal, di sini semalam.

Jelasnya, Terengganu juga bakal mempunyai sebanyak 159 stesen pemantauan banjir menjelang November tahun depan yang dibangunkan secara berfasa.

Beliau berkata, setakat ini, Terengganu mempunyai 93 stesen termasuk dengan penambahan 34 stesen ramalan dan amaran banjir Fasa 1 di lembangan Sungai Terengganu merangkumi Sungai Telemong, Sungai Berang dan Sungai Nerus yang siap baru-baru ini.

“Projek fasa 2 dengan 66 stesen di seluruh Terengganu sedang dilaksanakan dan dijangka siap tahun hadapan dan mampu meramalkan kejadian banjir tujuh hari lebih awal,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI