fbpx

Khidmat marsyal perlu kebenaran polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Permohonan yang dilakukan tanpa persetujuan pihak polis merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan pengiring konvoi dan marsyal oleh individu atau kumpulan wajib mendapatkan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan perlu mengemukakan alasan yang kukuh serta munasabah semasa membuat permohonan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sebarang permohonan yang dilakukan tanpa persetujuan pihak polis merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Marsyal ini tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan kenderaan di mana-mana tempat dan jika dijalankan secara haram, ia merupakan satu kesalahan undang-undang.

“Pihak yang hendak berkonvoi kenderaan dengan khidmat marsyal dinasihatkan mendapatkan kelulusan PDRM yang akan sertakan anggota polis trafik untuk menyertai konvoi itu sebelum sebarang tindakan menahan mahupun melencongkan kenderaan boleh dilakukan oleh PDRM atau agensi penguatkuasaan lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Tambah beliau, pihak bertanggungjawab dinasihatkan untuk tampil memohon kelulusan bagi memastikan aktiviti konvoi yang dijalankan lancar dan mematuhi peraturan serta tidak membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Kita tidak mahu terlalu banyak aktiviti yang memerlukan khidmat marsyal ini kerana hal itu mampu mengundang kemalangan jalan raya dan membahayakan nyawa pemandu kenderaan lain,” katanya.

Sementara itu, beliau mengarahkan semua Ketua Polis Negeri untuk melakukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di kelab-kelab rekreasi di negeri masing-masing.

“Pihak kami mendapati terdapat laporan perubahan lokasi parti persendirian dari premis hiburan ke kelab berkenaan baru-baru ini.

“Seperti kejadian yang berlaku kelmarin apabila serbuan parti persendirian di ibu kota membawa kepada seramai 303 individu dikompaun membabitkan jumlah RM1.565 juta, pemantauan ini akan dilaksana bagi mengesan sebarang penganjuran di kelab rekreasi yang ada,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI