fbpx

Terengganu dominasi Jelajah Negeri Sembilan 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan Terengganu mendominasi perlumbaan basikal Jelajah Negeri Sembilan 2021 yang berakhir hari ini apabila dua pelumbanya membolot tiga gelaran iaitu juara keseluruhan, raja pecut dan raja bukit. - Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

REMBAU – Pasukan Terengganu mendominasi perlumbaan basikal Jelajah Negeri Sembilan 2021 yang berakhir hari ini apabila dua pelumbanya membolot tiga gelaran iaitu juara keseluruhan, raja pecut dan raja bukit.

Jersi kuning dimenangi oleh Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim yang meraih jersi merah (raja bukit) dan muncul juara keseluruhan manakala rakan sepasukannya Muhammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo, meraih jersi hijau (raja pecut).

Faisal Izudin, ketika ditemui berkata, dia berpuas hati dengan persembahannya hari ini dan masa yang dicatatnya juga memberangsangkan.

“Alhamdulilah, kami (pasukan Terengganu) mencapai sasaran sepanjang perlumbaan. Malah, kami tak kisah siapa yang menyarung jersi kemenangan kerana sasaran kami adalah untuk mengekalkan jersi kepada pasukan.

“Penyertaan kami berbaloi apabila latihan selama 25 hari dari Terengganu ke Negeri Sembilan sejauh 3,000 kilometer mencapai sasaran,” katanya yang turut berkongsikan menyertai perlumbaan dengan “melupakan” seketika rasa sakit di bahagian tangan yang dialaminya akibat kemalangan dua hari sebelum latihan.

Hadiah kepada pemenang hari ini disampaikan oleh Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Sementara peringkat ketiga dan terakhir kejohanan tersebut yang berakhir di Dataran Rembau diungguli oleh pelumba Majlis Sukan Negara (MSN), Zulhelmi Zainal manakala Muhammad Faisal di tempat kedua diikuti oleh pelumba tuan rumah, Abdul Azim Aliyas di tempat ketiga.

Seramai 79 pelumba muda daripada 14 pasukan negeri termasuk dua kelab dan skuad pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) menyertai Jelajah Negeri Sembilan perlu mengharungi laluan sejauh 387 kilometer dengan Rembau (loop race) sebagai destinasi terakhir hari ini.

Kejohanan tersebut dianjurkan Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan dengan kerjasama kerajaan negeri merentasi sebahagian laluan negeri itu di Bandar Sri Sendayan, Lenggeng, Mantin, Nilai dan Rembau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI