fbpx

Prestasi hebat Silva dapat pujian tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SILVA (kiri) muncul wira apabila meledak gol kemenangan City menewaskan Villa 2-1 pada aksi EPL di Villa Park awal pagi semalam. – AFP

BIRMINGHAM – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menghamburkan pujian kepada pemain sayap, Bernardo Silva selepas dia membantu pasukan itu menang 2-1 ke atas Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park awal pagi semalam.

Silva meledak gol kemenangan The Citizens pada minit ke-43 selepas Ruben Dias membuka tirai jaringan ketika perlawanan baru memasuki minit ke-27, manakala gol Villa dijaringkan oleh Ollie Watkins.

Aksi ditampilkan pemain antarabangsa Portugal itu nyata mendapat perhatian Guardiola yang menganggap dia memiliki kelebihan dari segi teknikal serta penyudah tajam di depan gol.

“Dia (Silva) adalah yang terbaik dan sentiasa mengekalkan aksi konsisten sejak tiga musim lalu. Dia memiliki kemahiran yang luar biasa dan mampu lakukan apa sahaja apabila bersama bola.

“Anda perlu tengok semula ketika kami menjuarai liga de­ngan 98 mata. Sejak dari itu, dia mengekalkan aksi konsisten sehingga sekarang dan berjaya menewaskan salah sebuah pasukan meningkat naik seperti Villa,” kata Guardiola.

Bekas pengendali Barcelona itu juga berharap barisan pemainnya mampu mengekalkan rentak kemenangan dalam usaha untuk terus memberi tekanan kepada Chelsea.

“Apa yang penting sekarang adalah kami berada dalam kelompok teratas liga dan hanya dibezakan satu mata dengan pasukan pendahulu (Chelsea). Kami perlu kekalkan aksi seperti ini jika mahu memenangi liga,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI