fbpx

Elak cipta kontroversi demi kejar populariti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOPHIA ALBARAKBAH

PETALING JAYA – Pelakon baharu, Sophia Albarakbah menolak untuk mencipta sebarang gimik atau kontroversi semata-mata untuk dikenali ramai dan mencipta populariti dalam dunia seni hiburan tempatan.

Menurut pelakon berusia 28 tahun itu, dia seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada mencari populariti menggunakan jalan pintas menerusi cerita-cerita tular yang tidak baik semata-mata mahu dirinya dikenali ramai.

“Saya lebih suka mengejar populariti dan mahu dikenali kerana bakat yang ditonjolkan dalam bidang lakonan.

“Kalau ada orang minat saya (peminat), biarlah kerana bakat dan bukan dengan cerita-cerita yang tidak enak,” ujar Sophia.

Biarpun menyedari persai­ngan dengan muka-muka baharu dalam industri seni hiburan sa­ngat sengit, Sophia yang dikenali dengan gelaran Sophie Koshka enggan terbabit dengan kontroversi yang boleh menjatuhkan nama baiknya.

“Biarlah saya lambat dikenali orang, tidak mengapa. Kalau saya popular disebabkan perkara-perkara yang tidak enak, sudah tentu saya sendiri akan berasa tidak gembira,” katanya.

Sophia ketika ditemui pada sidang akhbar Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) di Damansara di sini semalam, bagimanapun menarik nafas lega kerana dikelilingi individu yang sentiasa menasihati dirinya supaya tidak terbabit dengan perkara yang bukan-bukan.

“Alhamdulillah saya dikelilingi individu yang banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat supaya sentiasa menjaga diri.

“Setakat ini masih belum ada lagi mana-mana pihak yang me­nyarankan saya supaya sengaja mencipta kontroversi. Jika ada sekalipun, saya akan menolak­nya,” ujar Sophia.

Sophia yang mula mencipta nama menerusi filem Mimaland bersama pelakon, Fattah Amin itu turut berharap kehadiran­nya dalam industri seni hiburan diterima baik peminat.

“Sasaran saya dalam industri lakonan supaya dapat menjadi salah seorang pelakon terbaik di Malaysia selain dapat menjayakan pelbagai watak dalam lakonan,” tegas Sophia. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI