SAAT melangkah masuk ke salah sebuah daripada empat lot kedai Muar Leather Craft (MLC), pandangan Hafiz Ithnin seperti dipukau.
Pemuda berusia 35 tahun itu terpesona melihat kepelbagaian serta keunikan produk kulit ditampilkan di situ daripada sekecil-kecil barang sehinggalah papan tanda kulit bersaiz besar.
Secara perlahan-lahan, dia mengatur langkah menelusuri setiap subjek dipamerkan sama ada yang tersusun di dalam almari cermin kaca atau digantung pada dinding.
Selesai melihat produk-produk ditampilkan, dia melabuhkan punggungnya di atas bangku panjang untuk mendengar sedikit taklimat daripada pemilik kedai.
Kemudian, Hafiz dibawa menjelajah ke lot kedai berikutnya bagi melihat teknik pembuatan produk kraf kulit terutama daripada lembu dan kambing secara lebih dekat.
Sebelum beransur pulang, lelaki berasal dari Johor Bahru itu sempat membeli beberapa barangan kulit untuk dibawa pulang sebagai cenderamata.
Itulah sebahagian pengalaman dilalui oleh Hafiz sewaktu berkunjung ke MLC yang terletak di Muar, Johor baru-baru ini.

MLC adalah salah satu destinasi persinggahan Hafiz bersama wakil media lain yang menyertai Southern Hidden Germ, Ekspresi Media Johor 2021 anjuran Tourism Malaysia.
“Ini kali pertama saya berpeluang berkunjung ke MLC meskipun berasal dari Johor. Saya sangat teruja melihat kepelbagaian produk kraf kulit ditawarkan di sini.
“Produk-produk kraf kulit di sini cukup unik dan tidak ada di tempat lain. Harganya juga sangat berpatutan berbanding jenama mewah,” katanya ketika ditemu bual K2.
Hafiz menambah, dia bukan sahaja boleh membeli produk kraf kulit di MLC, malah mendalami pelbagai ilmu bermanfaat berkaitan material berkenaan.
Mereka turut didedahkan tentang bagaimana bahan mentah kulit haiwan diproses menjadi kulit sehingga dijadikan produk.
Kata Hafiz, sebagai penggemar barangan kulit, ilmu tersebut juga sangat berguna bagi memudahkannya mengenal keaslian serta jenis kulit.
Sementara itu, pemiliknya, Roslin Osman yang juga merupakan ahli perniagaan kulit menegaskan, tujuan utama MLC diwujudkan adalah sebagai sebahagian projek tanggungjawab sosial (CSR) kepada masyarakat.
Jelasnya, sebagai pemain industri, dia berasa terpanggil untuk memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai ilmu berkaitan dengan kulit.
“MLC mula dibuka secara rasmi pada tahun 2018 untuk mendidik serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai material kulit terutamanya berkaitan jenis dan kegunaannya.
“Masyarakat kita sangat suka dengan produk kulit. Mereka sanggup berhabis ratusan ribu ringgit tetapi tidak ada ilmu sehingga ditipu penjual,” ujarnya.

Selain memberi kesedaran, MLC turut menyediakan peluang kepada pelawat merasai pengalaman membuat sendiri Do it Yourself (DIY) produk kulit.
Justeru tidak hairanlah, tempat tersebut sering menjadi tumpuan para pelancong, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk membuat produk cenderamata berasaskan kulit.
Untuk makluman, tempat itu turut mempunyai ruang dan kelengkapan yang mampu memuatkan seramai 120 orang pelawat untuk melakukan DIY kulit pada satu-satu masa.
“Kalau pelajar sekolah, kami akan mengajar mereka buat barangan yang mudah seperti rantai kunci. Pelajar IPT pula, kami dedahkan mereka dengan pembuatan dompet.
“MLC ini juga menjadi tumpuan pelawat sama ada dari dalam atau luar negara terutamanya Singapura. Mereka sangat teruja dapat membuat barangan kulit DIY meskipun seumur hidup tidak pernah menjahit.
“Setiap barang yang disiapkan, kami akan benarkan mereka bawa pulang sebagai cenderamata dengan mengenakan sedikit caj. Setiap minggu dianggarkan 400 orang berkunjung ke sini,” terangnya lagi.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam industri kulit, Roslin berkata, dia mula melibatkan diri dalam dunia kulit sejak 32 tahun lalu.
Ujarnya, dia bermula dengan bekerja di sebuah syarikat pembuatan kulit dari Jepun selama 16 tahun sebelum berhenti untuk menjelajah dunia.
Ketika itulah, Roslin mempelajari ilmu memproses kulit sebelum mengambil keputusan untuk menjadi pembekal bahan kulit kepada syarikat ternama luar negara.
“Saya beli kulit kambing atau lembu belum diproses dari Asia Barat dan Afrika kerana lebih murah dan berkualiti. Selepas itu, kami proses kulit itu di Vietnam dan Thailand.
“Kemudian, ia dijual kepada syarikat besar untuk dijadikan produk akhir. Saya adalah salah seorang pembekal utama kulit kepada syarikat sarung tangan golf, FootJoy,” jelasnya.

Anak jati Muar itu menambah, syarikatnya membekalkan kira-kira 200,000 keping kulit kambing kepada jenama besar setiap bulan.
Sementara itu, Roslin menjelaskan, MLC turut menjual pelbagai barangan berasaskan kulit kepada para pengunjung pada harga cukup berpatutan.
Katanya, pusat sehenti kulit itu juga dilengkapi dengan pelbagai peralatan canggih seperti mesin pemotong, mesin jahit dan laser untuk menulis pada kulit.
“Di sini, kami ada juga beberapa produk kulit yang dibuat dengan tangan (home made) seperti beg, jaket, tali pinggang, topi, dompet dan cenderamata. Kami juga menyediakan perkhidmatan custom barangan mengikut jenis kulit diinginkan oleh pelanggan sama ada mahal atau murah.
“Bahan paling mahal di sini adalah kulit lembu dari Itali bernilai RM400 bagi tiga meter persegi. Kualiti kulit ini sangat bagus,” jelasnya sambil memaklumkan MLC mempunyai empat pekerja.
Sebelum mengakhiri bicara, Roslin turut menyuarakan kebimbangan untuk mencari pelapis yang berminat menceburi industri kulit terutamanya dalam kalangan anak tempatan.
Tegasnya, kebanyakan masyarakat di negara ini tidak melihat industri berkenaan dalam skop lebih luas dan masih terhad kepada produk tradisional.
“Apabila sebut pasal kulit, orang kita hanya memikirkan mengenai pembuatan khat ayat-ayat al-Quran sahaja. Hakikatnya, kulit kambing dan lembu boleh buat lebih daripada itu.
“Sebab itulah, kita perlukan lebih ramai anak muda yang kreatif untuk hasilkan rekaan kulit yang lebih menarik dan bernilai tinggi,” katanya lagi.














