fbpx

Mohon kenyataan saksi meninggal diterima sebagai keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memohon agar rakaman kenyataan seorang ahli perniagaan yang ditemui maut selepas terjatuh dari sebuah kondominium mewah di negeri itu, bulan lalu diterima masuk sebagai keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, pihak pembelaan gagal membuktikan kenyataan setebal tujuh muka surat yang dirakam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Datuk Ewe Swee Kheng, dibuat secara paksaan.

Beliau berhujah, perkara yang diceritakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Ewein Bhd. itu adalah benar dan diakui sendiri oleh mendiang ketika sesi soal siasat yang berlangsung selama empat hari iaitu pada 3 Julai, 8 Julai dan 9 Julai tahun lalu manakala kenyataan terakhir pada 14 Ogos lalu.

Ahli perniagaan berusia 53 tahun itu yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15, meninggal dunia pada pukul 5.37 pagi, 5 Oktober lalu selepas ditemukan di bahagian bawah kondominium mewah The Palazzo, Jalan Kelawei, Pulau Pinang manakala sebab kematian ialah kecederaan berganda akibat jatuh daripada tempat yang tinggi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Francine Cheryl Rajendram berhujah, kematian mendiang telah dibuktikan manakala keseluruhan rakaman dilakukan ketika siasatan kes terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pendakwaan berhujah, mendiang bersetuju bahawa keempat-empat kenyataan tersebut adalah miliknya dan menurunkan tanda tangan serta tanda tangan ringkas selepas membacanya.

“Saksi ini telah meninggal, apa yang diberitahu ketika siasatan, itulah yang dirakam oleh pihak SPRM dan diakui sendiri oleh mendiang yang kemudian menurunkan tanda tangan dan tanda tangan ringkasnya,” ujar Francine.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon untuk mengemukakan kenyataan mendiang Swee Kheng sebagai sebahagian keterangan pada perbicaraan kes rasuah terhadap Guan Eng melibatkan projek terowong dasar laut dan jalan-jalan utama di negeri itu. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI