fbpx

KDN ‘tegur’ JKR tidak amal lantikan kerana melobi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah (tiga kanan) menerima replika kunci sebagai simbolik penyerahan IPD Iskandar Puteri, Johor hari ini. - FOTO: BAZLAN IBRAHIM

ISKANDAR PUTERI – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ‘menegur’ Jabatan Kerja Raya (JKR) agar melantik syarikat kontraktor pembangunan yang benar-benar layak dan bukan lantikan akibat daripada tindakan melobi.

Hamzah berkata, pemberian projek pembangunan kepada syarikat pembinaan hasil daripada tindakan itu kerap menimbulkan masalah termasuk projek kerajaan yang tertangguh sehingga gagal disiapkan.

“Selaku menteri, saya mohon pada JKR kalau ada projek yang kita bangunkan bersama selepas ini tolong cari kontraktor yang benar-benar mampu, kita tidak mahu lagi masalah ini timbul di kemudian hari.

“Kami bersedia untuk siapa sahaja yang dilantik JKR, tetapi biarlah dilakukan dengan prosedur sepatutnya dan tidak kerana lobi melobi. Akhirnya yang kuat melobi itu jadi penyebab masalah di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

IPD Iskandar Puteri yang mula dibangunkan pada tahun 2014 telah menemui kelewatan akibat masalah berkaitan kontraktor yang dilantik sebelum kerja menyiapkan baki pembinaan itu diserahkan kepada kontraktor lain.

Hamzah turut memberitahu, sehubungan itu pihaknya berharap penambahbaikan akan dilakukan pihak terlibat kerana masih terdapat banyak projek pembangunan melibatkan kementerian berkenaan di seluruh negara pada masa depan.

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan masih terdapat lima projek pembinaan IPD yang sedang dijalankan di seluruh negara selain sebuah lagi IPD yang sedang dalam proses dokumentasi.

“Lima IPD berkenaan adalah IPD Muallim, Perak bernilai RM85 juta; IPD Jeli, Kelantan (RM130.3 juta); IPD Lawas, Sarawak (138.07 juta); IPD Hulu Terengganu, Terengganu (RM108.88 juta) dan IPD Klang Utara, Selangor (RM159.3 juta).

“Sementara itu, pembinaan IPD Belaga, Sarawak yang bernilai RM90 juta kini sedang dalam proses dokumentasi dijangka akan turut dimulakan dalam waktu terdekat,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI