fbpx

Mohd. Puad gagal ketepi perintah injunksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Puad ketika hadir di Mahkamah Tinggu di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi gagal mengetepikan perintah injunksi interim sebelah pihak (ex parte) yang menghalang beliau menerbitkan semula kenyataan berunsur fitnah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu kuarantin.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini turut menolak permohonan bekas Perdana Menteri untuk mendapat perintah lanjutan injunksi interim kedua-dua pihak (inter partes) bagi menghalang Mohd. Puad menerbitkan semula kenyataan itu dalam laman Facebook.

Kedua-dua permohonan itu diputuskan tanpa kos oleh Hakim Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril selepas mendengar penghujahan peguam-peguam kedua-dua belah pihak pada 21 Oktober lalu.

Hakim Mohd. Firuz memutuskan demikian selepas berpuas hati, perintah injunksi terhadap Mohd. Puad tidak perlu diketepikan kerana beliau sudah mematuhi perintah supaya memadam kenyataan yang dipertikai yang dibuat dalam Facebook miliknya.

“Akhir sekali, kenyataan yang dipertikai itu sudah dipadam jadi saya tidak cenderung untuk membenarkan permohonan untuk mengetepikan injunksi tersebut,” ujarnya ketika menyampaikan keputusannya.

Beliau turut berpendapat, keputusan itu bukan pengakhiran kepada Mohd. Puad (defendan) kerana mahkamah mempunyai kuasa memberikan ganti rugi kepadanya jika beliau berjaya pada pengakhiran tuntutan saman tersebut.

Sehubungan itu, perbicaraan kes saman Muhyiddin terhadap Mohd. Puad akan diteruskan dan didengar di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz kerana beliau akan berpindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan secara dalam talian pada 9 Disember ini.

Pada prosiding itu, Muhyiddin diwakili peguam-peguam Rosli Dahlan dan Datuk D.P Naban manakala Mohd. Puad diwakili oleh G. Rajasingam dan Shahrul Fazli Kamarulzaman.

Rosli ketika ditemui pihak media sejurus kes selesai menjelaskan, oleh kerana kenyataan tersebut telah dipadam dan defendan tidak mengulanginya, isu yang akan ditentukan pada peringkat perbicaraan adalah berhubung ganti rugi.

Menurut beliau, pada peringkat itu, Muhyiddin telah berjaya mencapai objektif awal bagi mendapatkan injunksi menghalang Mohd. Puad menerbitkan semula kenyataan tersebut.

Sementara itu, Rajasingam turut memberitahu, permohonan anak guamnya untuk mengetepikan injunksi ex parte ditolak kerana ia telah luput dan hanya berkuat kuasa selama 21 hari.

Muhyiddin selaku plaintif atas kapasitinya menyaman Mohd. Puad (defendan) pada 1 Mac lalu yang mendakwa, pada 9 Februari lalu beliau telah menerbitkan suatu hantaran di laman Facebooknya di bawah nama ‘Dr. Puad Zarkashi’ bertajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI