fbpx

Pendekatan dasar, EBP perlu digalakkan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri.

PUTRAJAYA – Pendekatan dasar dan peraturan berasaskan bukti (EBP) perlu digalakkan dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan negara dalam Laporan World Competitiveness Yearbook (WCY).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan meletakkan sasaran untuk menjadi di antara sembilan ekonomi terbaik dunia untuk sub-indeks Kecekapan Kerajaan WCY terbitan Institut Pengurusan Pembangunan (IMD).

Bagaimanapun, beliau berkata, indikator peraturan perniagaan di Malaysia telah menunjukkan trend kemerosotan yang ketara dalam tempoh 10 tahun lalu iaitu dari kedudukan ke-19 pada 2010 kepada kedudukan ke-47 tahun ini.

“Dalam mencapai sasaran ini, pendekatan dasar dan EBP perlu digalakkan. EBP akan diterapkan dalam mekanisme perancangan, penilaian, dan pemantauan supaya dapat menjamin pembaharuan struktural yang menyeluruh bagi kelestarian pertumbuhan produktiviti dan ekonomi.

“Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) melalui mandat Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDigital) menerima pakai pendekatan EBP dalam memenuhi keperluan perniagaan ekonomi digital melalui Regulatory Experimentations (RE).

“Inisiatif ini mensasarkan penubuhan 5,000 syarikat pemula menjelang 2025,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kebangsaan Amalan Baik Peraturan (GRP) yang bertemakan Lonjakan Produktiviti Melalui Peraturan Berkualiti hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pendekatan Keseluruhan Kerajaan yang menitikberatkan kerjasama rapat dan bersepadu semua kementerian, agensi, dan jabatan menjadi asas pelaksanaan GRP.

Bukan itu sahaja, katanya, penglibatan pihak swasta, industri dan komuniti perniagaan di dalam GRP juga akan dipertingkatkan.

“Ingin saya tekankan di sini bahawa prinsip, elemen, dan proses dalam kaedah GRP mesti diterima pakai oleh semua
kementerian dan agensi pengawal selia dalam penggubalan dan semakan dasar serta peraturan.

“Elemen-elemen GRP antaranya Analisis Impak Peraturan, Analisis Kos Faedah, dan Penilaian Notifikasi Peraturan mesti dilaksanakan dengan teliti. Data dan maklumat yang terangkum harus membuktikan bahawa tindakan peraturan benar-benar membawa kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ismail Sabri berkata, dengan penguatkuasaan Dasar Negara bagi Amalan Baik Peraturan (NPGRP) bermula 22 Jun lalu, Ketua Setiausaha Negara akan bekerjasama dengan semua Ketua Setiausaha kementerian dan Ketua Pengarah agensi dan jabatan kerajaan dalam memastikan pelaksanaan NPGRP yang menyeluruh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI