fbpx

Wakaf Felda mampu tingkatkan ekuiti Bumiputra – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PETALING JAYA – Pelan Induk Wakaf Nasional iaitu sebuah pelan holistik sedang disediakan oleh pihak kerajaan bagi memperkasakan pengurusan wakaf Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi Bajet 2022 yang dibentangkan sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Wakaf Pertanian serta Wakaf Bencana.

“Wakaf telah dijadikan sebahagian daripada kerangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Fokus Kelima dan Fokus Keenam RMK-12 menggariskan peranan kritikal yang perlu dimainkan oleh institusi wakaf dalam membantu Keluarga Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Ia juga selaras dengan usaha kerajaan untuk mempelbagaikan sumber kewangan bagi membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti Bumiputera,” katanya ketika berucap merasmikan Waqaf Felda di ibu negara hari ini.

Tambah Ismail Sabri, institusi wakaf perlu bersama-sama memain peranan untuk melonjakkan sosio-ekonomi komuniti sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, iltizam ini boleh dicapai melalui Waqaf Felda yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi dengan menggunakan konsep wakaf korporat.

“Objektif penubuhan Waqaf Felda ini adalah bagi menyokong pembentukan model perniagaan baharu, menyemai benih keberkatan, menyuburkan kebajikan dan sumbangan kepada komuniti serta mengukuhkan kelestarian Felda itu sendiri.

“Usaha ini juga bagi memangkin ekonomi luar bandar melalui kewujudan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang biasanya tidak ditembusi oleh syarikat korporat lain dengan objektif lebih terarah kepada memaksimumkan keuntungan,” katanya.

Tambah Perdana Menteri lagi, Waqaf Felda yang ditubuhkan ini, akan melaburkan semula sebahagian keuntungan pelaburan awal yang disumbangkan oleh Felda dan agensi seperti FGV Holdings Berhad, Koperasi Permodalan Felda dan MSM Holdings Berhad serta agensi berkaitan lain.

“Sebanyak 30 peratus keuntungan yang diperoleh Waqaf Felda ini akan diperuntukkan kepada kebajikan, lima peratus akan disalurkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) manakala selebihnya akan dilabur semula,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI