fbpx

Aktif majukan industri francais

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasnol (tiga dari kanan) bergambar bersama penerima senarai akhir Anugerah Francais Malaysia yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri pada 1 Disember ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersedia memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan bagi membolehkan lebih ramai usahawan mendapatkan dana menerusi Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam berkata, inisiatif itu penting ekoran sambutan menggalakkan diterima daripada penggiat industri francais terutamanya golongan B40 dan M40 yang berminat memohon dana berkenaan untuk memajukan perniagaan masing-masing.

Menurut beliau, sehingga kini, pihaknya telah menerima sebanyak 144 permohonan daripada francaisor dan francaisi untuk mendapatkan dana keseluruhan berjumlah RM5 juta yang diperuntukkan bagi program berkenaan pada tahun ini.

“Kita akan melakukan tapisan secara terperinci bagi mengenal pasti lapan francaisor dan sembilan francaisi yang layak menerima dana berkenaan.

“Kami menawarkan dana maksimum sehingga RM100,000 untuk francaisor, manakala untuk francaisi maksimum 90 peratus iaitu antara RM50,000 hingga RM100,000 bergantung kepada jenis perniagaan dan permohonan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersempena pengumuman senarai 32 peserta akhir penerima Anugerah Francais Malaysia 2021 di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan; Pengerusi Malam Anugerah Francais Malaysia 2021, Datuk Zahriah Abd. Kadir dan Pengerusi Anugerah Francais Malaysia 2021, Prof. Dr. Azmawani Abd. Rahman.

Majlis penyampaian Anugerah Francais Malaysia 2021 dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1 Disember ini.

Mengulas lanjut, Hasnol menjelaskan, majoriti permohonan diterima daripada penggiat industri makanan dan minuman serta sektor pendidikan yang mendominasi industri francais di Malaysia sekarang.

Terdahulu, Hasnol berkata, kerajaan juga akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu mempromosikan industri francais negara ke peringkat antarabangsa termasuk menerusi Program Pengukuhkan Pembangunan Francais untuk meningkatkan Eksport (EFDP) dengan kerjasama MFA.

Tambah Hasnol, program berkenaan berjaya menarik pelabur dari negara Timur Tengah, Afrika Tengah, Asia Selatan dan Indo-China.

Beliau berkata, antara jenama yang berjaya dan bergerak aktif dalam program EFDP adalah Global Art yang menandatangani perjanjian persefahaman dengan pelabur dari Maghribi, manakala

Kenny Rogers Rosters bakal menandatangani perjanjian dengan pelabur dari Algeria pada bulan depan.

“Harapan saya agar lebih banyak lagi jenama francais tempatan akan menerima manfaat daripada inisiatif dilaksanakan KPDHEP pada masa depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI