fbpx

Sensasi kemenangan anugerah popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JANNA NICK

PENUH kejutan. Begitulah gambaran yang boleh diberikan terhadap penganjuran Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian ke-34 (ABPBH), Sabtu lalu.

Debaran yang dirasai ramai akhirnya terungkai satu per satu selepas senarai pemenang diumumkan pada malam tersebut.

Paling dinanti ramai sudah pastilah pemilik anugerah Bintang Paling Popular ke-34 yang secara rasminya menjadi hak mutlak selebriti versatil Janna Nick yang turut membawa pulang sebuah kereta mewah, Nissan Navara.

Sebelum ini ramai yang menjangkakan penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana sebagai pemilik anugerah tersebut tetapi ramalan tersebut ternyata meleset sama sekali.

MENDAPAT lebih 86 juta undian, buat pertama kali Janna berjaya membawa pulang tiga buah trofi termasuklah diumumkan sebagai Bintang Paling Popular tahun ini.

Janna Nick paling popular

Selain kemenangan tersebut, Janna turut membawa pulang dua lagi trofi iaitu Pelakon Filem Paling Popular menerusi naskhah Pasal Kau dan Pengacara TV Paling Popular (Melodi).

Mengimbau semula ucapannya pada malam tersebut sambil memegang trofi, Janna, 26, memberitahu tidak menyangka bagaimana dirinya layak untuk menerima anugerah besar tersebut.

Dengan lebih 86 juta undian, sekali gus meletakkan bekas pengacara Melodi itu sebagai Bintang Paling Popular tahun ini. Kemenangan tersebut juga membuktikan rasa cinta dan sayang kelab peminatnya, Janna Nicker terhadapnya.

“Jujur saya terkesima. Perkataan pertama yang terpacul daripada bibir ialah ‘astaghfirullah’.

“Banyak sangat undian yang saya terima, siapa yang undi saya? Mungkin negara jiran yang undi,” seloroh pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu.

AINA ABDUL memberikan persembahan mantap bergandingan bersama gitaris Man Kidal menerusi medley popularnya, Semalam dan Sumpah.

Tidak mampu untuk menzahirkan rasa terharu dan bangga, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu memberitahu kemenangan tersebut mungkin hadiah peminat untuk dirinya yang sudah melalui banyak peristiwa getir sebelum ini.

Malah dia juga mengakui 2021 merupakan tahun suram buat dirinya sehingga pernah ‘tersungkur’ sekitar awal tahun gara-gara beberapa kontroversi yang menghambat diri.

“Saya yakin kelab peminat saya merasai kesedihan yang saya lalui sebelum ini.

“Hadiah ini mungkin ekspresi dan luahan rasa mereka terhadap saya supaya tidak putus asa dengan semua kisah hitam yang dilalui selama ini.

“Ya, 2021 merupakan tahun suram, namun tidak sangka semuanya berakhir dengan kegembiraan ini. Ini juga platform untuk kelahiran semula seorang Janna Nick sekali gus meninggalkan semua kisah duka lalu,” akuinya.

Tambah pemilik nama penuh Nurul Jannah Muner itu, dia juga akan memperlahankan karier lakonan dan memberi lebih fokus terhadap bidang pengarahan serta penerbitan selepas ini.

MASIH bertahan, Siti Nordiana terus unggul membawa pulang trofi Penyanyi Wanita Popular dan Artis Versatil Popular pada malam tersebut

Asif diraikan

Selain Bintang Paling Popular, pemenang bagi kategori Pelakon Komedi Popular antara yang mendapat perhatian ramai pada malam tersebut.

Jika sebelum ini kategori tersebut milik Sherry Alhadad kini sudah beralih kepada Asif Suhaimi iaitu pelakon yang terkenal menerusi Drama Spontan karya dan arahan Syahmi Sazli.

Kemenangannya bukan sahaja diakui tetapi diraikan ramai sehingga namanya sohor kini dalam media sosial.

Rata-rata mengakui pelakon yang juga pengidap autisme itu layak untuk memenangi kategori tersebut kerana berjaya menceriakan ramai menerusi lakonan jujurnya selama ini.

“Saya gembira dan gemuruh, terima kasih untuk anugerah ini,” kata Asif ringkas.

Dalam pada itu, insan penting yang telah membawa Asif ke dunia hiburan turut tumpang gembira dengan kemenangan tersebut.

“Saya rasa kemenangan ini bukan kerana filem Mael Totey sahaja tetapi juga disebabkan Syif Malam Raya dan Drama Spontan.

“Selain itu, kemenangan Asif juga saya rasakan kerana lawaknya yang spontan dan jujur,” ujarnya yang bakal melancarkan dua buah filem tahun depan.

FESYEN unik rekaan Behati yang digayakan Aina Abdul menjadi tarikan dan mendapat perhatian penonton ABP34.

Jasa Habsah Hassan

Seperti tahun-tahun sebelum ini, ABP tidak pernah melupakan untuk menghargai jasa insan-insan hebat yang telah memberi sumbangan besar terhadap industri seni tanah air.

Kali ini, penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan dipilih membawa pulang trofi Anugerah Sepanjang Hayat pada malam tersebut.

Habsah, 74, dipilih sebagai penerima anugerah istimewa itu berdasarkan bakti dan sumbangannya dalam bidang penulisan serta telah menghasilkan lebih 1,000 lirik lagu.

Antara lirik lagu terkenal hasil nukilannya ialah Pulangkan nyanyian Misha Omar, Cukuplah Sekali (Jay Jay) dan Merisik Khabar (Allahyarham Sudirman).

“Anugerah ini ialah selepas lebih 50 tahun membabitkan diri dalam bidang penulisan.

“Buat generasi muda terutama penyanyi, jangan sia-siakan jika ada bakat menulis lirik lagu. Jika hendak berada lama dalam industri seni, biarlah serius dan tidak hanya mengejar populariti semata-mata,” pesannya.

JASA lebih 50 tahun dalam bidang penulisan lirik dihargai, Habsah Hassan diangkat sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ABP34.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI