fbpx

10,413 kuota Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis APC PDRM 2023, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini. Foto oleh SHIDDEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10,413 kuota pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) diperuntukkan buat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 1,068 Pegawai Kanan Polis, 8,376 Pegawai Rendah Polis dan 970 Pegawai Awam menerima anugerah ini.

Ujarnya, selain daripada pengiktirafan kepada perkhidmatan cemerlang pegawai penerima, APC juga merupakan salah satu kriteria yang diambil kira dalam aspek pengurusan sumber manusia antaranya berkaitan kemajuan kerjaya.

“Selain itu juga, pemberian APC menjadi asas sokongan bagi proses kenaikan pangkat dan peluang untuk menyertai kursus sama ada dalam mahupun luar negara.

“Untuk itu, besarlah harapan saya agar pengiktirafan ini menjadi suntikan semangat kepada para penerima serta warga pasukan yang lain, untuk terus memberikan
perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian APC PDRM tahun 2023, di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Dalam majlis tersebut, Razarudin meraikan seramai 42 orang warga PDRM yang menerima sijil anugerah bagi penilaian tahun 2023.

Bagi penyampaian sijil anugerah kepada para penerima yang lain pula, majlis akan diadakan di peringkat jabatan, kontinjen serta formasi masing-masing.

Sementara itu, dalam majlis yang sama turut berlangsungnya cabutan bertuah kepada penerima-penerima APC berjumlah RM10,000 dalam bentuk Sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional.

Turut berlangsung, penyampaian cek replika Sahabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada tabung kebajikan PDRM.

Wang yang disalurkan ini merupakan pulangan yang diterima PDRM sepanjang tahun 2023, hasil daripada beberapa perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak PTPTN kepada warga pasukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI