fbpx

Ikhlas bantu, kami tak ‘tunggang’ kontroversi madu – Wawa Zainal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wawa Zainal memilih madu kepada Marissa Dania, Misya Mazlan sebagai duta tudung syarikatnya semata-mata atas dasar mahu membantu.

PETALING JAYA – Tidak berniat mengambil kesempatan, pelakon dan usahawan Wawa Zainal memilih madu kepada Marissa Dania, Misya Mazlan sebagai duta tudung syarikatnya semata-mata atas dasar mahu membantu.

Kata pemilik nama lengkap Nur Hawa Zainal Abidin, 32, tawaran diajukan untuk ibu kepada seorang cahaya mata itu sudah lama, namun hanya baru-baru ini kolaborasi tersebut diumumkan kepada khalayak.

“Sebenarnya kerjasama ini secara kebetulan berlangsung selepas kontroversi membabitkan mereka bertiga sedang hangat diperkatakan masyarakat.

“Sejujurnya kami sudah buat perjanjian dengan Misya agak lama dulu, jadi kalau anggap kami ‘tunggang’ kontroversi yang berlaku sebagai strategi pemasaran, itu tidak benar.

“Kami memang nak bantu dia, sebab yang sebelah sana (Marissa) sudah raih banyak tawaran kerja,” katanya pada Majlis Indahnya Ramadan bersama Wawa serentak pelancaran rangkaian produk baharu Wawa Cosmetics, Love Your Skin.

Pada masa sama, isteri kepada pelakon Aeril Zafrel itu mengakui selain Misya, syarikat mereka turut mengambil ramai pempengaruh bagi mempromosikan jenama Wawa Scarves dan Wawa Cosmetics.

“Kami mahu buka laluan agar dia lebih menonjol, jadi peluang mendapatkan banyak tawaran lain semakin besar, bukan dia saja kerana ramai lagi artis serta pempengaruh wakili produk kami setiap bulan,” ujarnya.

Sementara itu, Aeril turut mengulas mengenai pandangan segelintir pihak berkenaan ‘mengambil orang yang teraniaya’ dalam produk mereka.

Katanya, perkara tersebut mungkin hanya tanggapan sesetengah netizen, tetapi dari segi bisnes perkara membabitkan perasaan di luar pengetahuan syarikat.

“Tanggapan ‘mengambil orang teraniaya’, itu kami pasti sama ada dia teraniaya atau tidak, mana tahu dia pun bahagia saja,” ujarnya.

Terdahulu, sekitar Februari lalu, Wawa melantik Misya yang juga madu anak kepada Norman Hakim dan Abby Abadi sebagai wajah koleksi tudung terbaru jenama Wawa Scarves selama tiga bulan.

Pemilihan itu meraih pujian ramai memandangkan ketika itu Misya berdepan situasi sukar apabila pernikahan rahsia suaminya, Aslam dengan Marissa di Songkhla, Thailand terbongkar, sekali gus menjadi isu panas.

Mengenai majlis raikan Ramadan bersama anak yatim dan pelajar, akui Aeril, sejak ditubuhkan pasa 2018, Wawa Cosmetics mengimarahkan puasa dengan berbahagi rezeki.

“Hasrat kami adalah untuk melihat anak-anak ini gembira kerana saya pun menjadi anak yatim pada usia sekitar 17 tahun, dah faham situasi tetapi rata-rata mereka ini masih kecil ketika hilang orang tua.

“Sekurang-kurangnya sumbangan dan sokongan kami ini dapat menyuntik bahagia,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI