fbpx

Empat anggota terima anugerah penghargaan KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat anggota terima anugerah penghargaan daripada Razarudin dalam majlis ringkat di Bukit Aman hari ini. FOTO ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberikan anugerah penghargaan kepada empat anggotanya yang tular di media sosial kerana sikap berani dan khidmat bakti mereka kepada masyarakat.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu hantaran berkata, empat anggota dianugerahkan penghargaan oleh Razarudin menerusi majlis ringkas di Bukit Aman, hari ini.

Katanya, empat anggota berkenaan adalah Lans Koperal Mohamad Khairul Annuar Ahmad, Lans Koperal Mohamad Hazieril Hanif Ahmad, Lans Koperal Muhammad Shahrul Afiq Ahmad Dugel dan Koperal Sokongan Muhamad Nur Shahrul Andhar Rosmi.

“Kesemua anggota polis tersebut yang tular di media sosial kerana sikap berani dan khidmat bakti tidak berbelah bahagi kepada masyarakat itu diraikan dalam satu majlis ringkas oleh Tan Sri Razarudin di pejabatnya (Bukit Aman).

“Mereka dianugerahkan sijil dan plak penghargaan KPN termasuk cenderamata oleh pejabat pucuk pimpinan PDRM,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurut PDRM, tiga Lans Koperal iaitu Mohamad Khairul Annuar, 32, Mohamad Hazieril Hanif, 31, dan Muhammad Shahrul Afiq Ahmad Dugel, 25, yang bertugas di Balai Polis Wangsa Maju menerima anugerah itu selepas menyelamatkan dua beranak dalam kebakaran di sebuah pangsapuri Wangsa Maju, di sini, 18 Mac lalu.

“Tindakan pantas ketiga-tiga anggota tersebut yang berjaya memecahkan pintu sebuah unit pangsapuri bagi mengeluarkan mangsa yang diselubungi asap tebal.

“Tindakan itu begitu mengagumkan rakyat Malaysia sehingga mendapat perhatian Tan Sri Razarudin sendiri yang turut berkongsi penghargaan kepada mereka menerusi akaun Tik Tok beliau, @igrazor,” ujarnya.

Sementara itu, Koperal Sokongan Muhamad Nur Shahrul, 32, yang bertugas di Unit Cawangan Kereta Peronda, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pula terkenal dengan sikap ihsan dan perikemanusiaannya membantu orang awam.

“Melalui video yang dimuat naik ketika menjalankan tugas membuat rondaan cegah jenayah, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna media sosial khasnya di Tik Tok.

“Terkenal degan nama akaun Tik Tok, @TenggoKiloDcc, jumlah pengikut akaunnya kini mencecah lebih 300,000 dengan rata-rata komen yang dilontarkan dalam videonya merupakan penghargaan dan ucapan terima kasih daripada rakyat Malaysia,” jelasnya.

Dalam pertemuan petang tadi, Razarudin sempat menyelitkan beberapa nasihat penting kepada anggotanya agar terus memberikan khidmat bakti terbaik kepada masyarakat, negara dan agama. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI