fbpx

Konsortium didenda RM40,000 abaikan keselamatan pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Fairuz mewakili Sinergi Perdana yang didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang

KLANG – Tindakan sebuah syarikat konsortium pertanian mengabaikan aspek keselamatan sehingga menyebabkan pekerjanya maut dua tahun lalu membawa padah apabila didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Razali Ariffin menjatuhi hukuman itu terhadap Sinergi Perdana Sdn. Bhd. sebagai Orang Kena Saman (OKS) diwakili Pengurus Undang-Undang dan Korporatnya, Siti Fairuz Kamis,35, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan penjara 12 bulan sekiranya OKS gagal membayar denda tersebut.

Sinergi Perdana dibentuk oleh tiga agensi perladangan iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Felcra Berhad dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Mengikut pertuduhan, Sinergi Perdana sebagai majikan telah gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan dengan tidak menyediakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan untuk menjalankan aktiviti kerja kimpalan pada tapak motor elektrik “granulator chute” sehingga menyebabkan kemalangan maut kepada Jafri Jamaluddin,41.

Kesalahan itu dilakukan di seksyen dua bahagian pengeluaran dalam kilang di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Perlabuhan Klang di sini pukul 4.50 petang pada 19 Februari 2019.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 15(2)(c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta yang sama.

Siti Fairuz dalam rayuannya menjelaskan kejadian tersebut berlaku ketika setahun syarikat itu baru beroperasi dengan merupakan kesalahan kali pertama.

“Kami telah mengambil tindakan segera dengan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan kerja-kerja selamat dengan pekerja sentiasa diberikan latihan,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Jamaludin Harun dan Mohd. Nizam Teh Kammaruddin menegaskan faktor kecuaian itu menyebabkan kehilangan pekerja yang mempunyai kemahiran.

“Tindakan dibuat selepas kejadian berlaku sepatutnya dilakukan sebelum berlaku. Justeru, saya mohon hukuman setimpal dan berat sebagai pengajaran kepada OKS dan peringatan kepada syarikat di luar sana,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, Jafri yang merupakan warga tempatan dan bekerja sebagai pengimpal di Sinergi Perdana telah terkena renjatan elektrik ketika kerja-kerja kimpalan.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI