fbpx

Habsah Hassan terima Anugerah Sepanjang Hayat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Habsah Hassan.

PETALING JAYA – Penulis lirik tersohor negara, Datuk Habsah Hassan dipilih membawa pulang trofi Anugerah Sepanjang Hayat di Anugerah Bintang Popular ke-34 (ABPBH34) yang diumumkan secara langsung sebentar tadi.

Habsah atau lebih mesra disapa Kak Chah oleh penggiat industri muzik tempatan dipilih sebagai penerima anugerah istimewa itu berdasarkan bakti dan sumbangannya dalam bidang penulisan lirik.

Sehingga kini, beliau telah menghasilkan lebih daripada 1,000 lirik lagu.

Wanita kelahiran Singapura itu ketika menerima anugerah tersebut berkata, beliau menganggap penganugerahan yang diberikan kepadanya adalah sesuatu di luar jangkaannya.

“Alhamdulillah. Anugerah ini di luar jangkaan saya. Terima kasih kepada TV3. Terima kasih kepada semua individu, setiap organisasi sama ada secara langsung mahupun tidak yang telah memberikan sokongan terhadap saya,” ucapnya.

Dalam pada itu, Habsah, 74, dalam ucapannya turut berharap agar lebih ramai generasi baharu dapat meneruskan kerjaya penulisan lirik dengan ikhlas sehingga meninggalkan kesan kepada warisan akan datang.

“Saya berharap agar lebih ramai generasi baharu dapat dilahirkan dalam bidang penulisan sebagai warisan kepada anak-anak kita yang akan datang,” katanya.

Habsah sememangnya cukup dikenali dalam kalangan orang-orang industri seni kerana sentuhan lirik lagu yang dihasilkannya diibaratkan ‘magis’ dengan susunan kata yang indah.

Antara lirik lagu yang pernah dihasilkan Habsah adalah seperti Salam terakhir dan Merisik Khabar dendangan Allahyarham Sudirman, Menaruh Harapan (Zaiton Sameon), Cinta Beralih Arah (Aishah) dan Usah Diragui (Datuk Seri Siti Nurhaliza).

Tahun lalu, ABPBH33 menyaksikan penyanyi Francissca Peter dipilih sebagai penerima Anugerah Sepanjang Hayat atas sumbangan besar terutama menjadi perintis kepada penguasaan penyanyi bukan Melayu dalam dunia seni suara bagi genre balada wanita. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI