fbpx
Rosmah

Rosmah mohon hakim bicara kes AMLA tarik diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor memohon supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan supaya menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.

Rosmah, 69, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Geethan Ram pada 2 November lalu, yang antara lain turut memohon kes AMLA dan LHDN yang dihadapinya didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi lain.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh Rosmah membuat permohonan itu atas alasan Hakim Mohamed Zaini mendengar perbicaraan kes solar yang dihadapinya dan hakim berkenaan memutuskan bahawa kes prima facie telah terbukti dan beliau dikehendaki membela diri bagi kes tersebut yang mana perbicaraannya bersambung 8 Disember ini.

Dakwa Rosmah, keterangan dan eksibit-eksibit yang telah dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan kes itu yang mana ia secara langsung atau tidak langsung boleh mempengaruhi Hakim Mohamed Zaini sekiranya hakim berkenaan mendengar kes AMLA tersebut.

Katanya, adalah menjadi hak pemohon untuk mendapatkan suatu perbicaraan yang adil adalah dilindungi sebagai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan dan hak itu akan diprejudiskan secara teruk dan menjadi sia-sia sekiranya hakim berkenaan mendengar perbicaraan kes ini.

Pada 18 Februari lalu, Hakim Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah untuk membela diri atas tuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Rosmah kini sedang disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan kes rasuah solar. Perbicaraan itu akan bersambung pada 8 Disember ini.

Rosmah didakwa 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta  Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN