fbpx
MARQUEZ disahkan mengalami masalah penglihatan ekoran kemalangan ketika sesi latihan yang dihadapinya sebelum GP Algarve. – AFP

Marquez tarik diri aksi GP Valencia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARCELONA – Juara dunia enam kali, Marc Marquez sah tidak akan beraksi pada perlumbaan penutup tirai Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) yang berlangsung di Grand Prix (GP) Valencia minggu ini ekoran masalah penglihatan.

Perkara itu disahkan oleh pasukan yang diwakili Marquez, Repsol Honda dalam satu ke­nyataan kelmarin selepas pelumba berusia 28 tahun itu belum pulih daripada kecederaan yang dialami apabila terlibat dalam kemalangan ketika sesi latihan off-road sebelum mengharungi GP Algarve minggu lalu.

“Marquez tidak akan menyer­tai pasukan pada GP Valencia minggu ini dan kelibatnya juga diketepikan pada saingan ujian di Jerez yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 19 November depan kerana masih menjalani proses pemulihan.

“Kami mengambil keputusan ini selepas mendengar nasihat pegawai perubatan pasukan yang menyatakan Marquez masih mengalami masalah penglihatan yang agak serius dan perlukan pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Marquez yang telah mengumpul 142 mata selain berjaya mendominasi tiga perlumbaan GP musim ini me­ngakui, agak terkilan kerana gagal berlumba di hadapan penyokong sendiri pada saingan penutup tirai musim ini.

“Cabaran demi cabaran hadir dalam hidup saya dan apa yang boleh saya lakukan hanyalah pasrah dengan setiap ujian ini. Selepas menemui pegawai perubatan di Barcelona, saya disahkan mengalami penyakit penglihatan berulang yang kali terakhir dialami pada 2011.

“Apa yang penting ketika ini adalah saya perlu tenang dan fokus dengan aspek pemulihan selain kekal positif agar dapat mengharungi saingan musim baharu nanti dengan lebih cemerlang. Terima kasih atas doa dan sokongan anda selama ini,” jelas Marquez. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN