fbpx

KKM serbu premis jual ubat kuat, vitamin C

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah menjalankan serbuan ke atas 666 premis menjual ubat kuat tidak berdaftar dengan nilai rampasan mencecah RM5,818,963.

Dalam masa sama, serbuan juga telah dijalankan ke atas 187 premis menjual suntikan vitamin C dengan nilai rampasan berjumlah RM278,202.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Norhaliza A. Halim berkata, sejak tahun 2019 sehingga November ini, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM telah menerima sebanyak 362 aduan daripada orang awam mengenai ubat kuat dan suntikan vitamin C.

Menurutnya, bagi mengekang penjualan produk kesihatan tidak berdaftar termasuk ubat kuat dan suntikan vitamin C, pihak KKM giat menjalankan pemeriksaan dan operasi serbuan secara berterusan terutamanya di lokasi panas yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

“Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah meningkatkan pemantauan terhadap ubat tidak berdaftar termasuk ubat kuat dan suntikan vitamin C yang dijual dalam talian dan terdapat pengiklanan serta penjualan keluaran di platform e-dagang yang dijual telah diarahkan untuk diturunkan.

“Sejak tahun lalu, pihak syarikat pengendali platform telah diarahkan untuk menyekat sebarang produk ubat-ubatan berkaitan ubat tidak berdaftar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas muka depan akhbar Kosmo! melibatkan tiga laporan untuk tiga hari berturut-turut bertajuk ‘Tisu Magic Ganti Ubat Kuat Seks’ (1 November), ‘Duit Habis Kulit Tak Putih’ (2 November) dan ‘Jenuh Mengadu, Tapi Tiada Tindakan’ (3 November 2021).

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 19,862 iklan produk telah dinotifikasi untuk diturunkan sejak tahun lalu sehingga November ini, manakala sebanyak 1,665 bilangan pautan di media sosial dan platform e-dagang luar negara berkaitan ubat kuat dan suntikan vitamin C telah dimajukan kepada pentadbir platform bagi permohonan penurunan kandungan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI