fbpx
SYAHZANI didedahkan dengan dunia fesyen dan peragaan oleh ibunya sejak kecil.

Syahzani impi berjaya dalam fesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMILIK nama Nur Mirza Syahzani Mohamad Sharkawi, 21, sering dilihat tersenyum sambil memperagakan pelbagai busana cantik di laman sosialnya.

Bergelar model sejak berusia 17 tahun, anak kelahiran Bumi Kenyalang ini begitu meminati dunia fesyen sehingga mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

“Impian saya tercapai. Saya sudah bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan fesyen sejak berusia 11 tahun lagi.

“Saya masih menyimpan beberapa koleksi lukisan pakaian yang dilukis sejak usia 11 tahun.

“Sejak kecil, ibu sering mendedahkan saya dengan pertandingan pakaian, misalnya busana patriotik dan tradisional sehingga pernah memenangi beberapa pertandingan pakaian beragam.

“Minat dalam industri ini semakin bercambah apabila saya mula melibatkan diri dalam dunia modelling sejak berusia 17 tahun.

“Melihat dan merasai sendiri rekaan dihasilkan pereka fesyen, selain berpeluang memperagakannya di pentas, menjadikan saya lebih terinspirasi untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan fesyen,” katanya membuka bicara.

Menurut gadis yang lebih mesra disapa Syahzani ini, di sebalik pentas peragaan dan busana cantik yang sering dilihat umum, bidang tersebut tidak lari daripada cabaran tersendiri.

“Orang ramai mungkin mudah tertarik kepada jurusan ini kerana menganggap ia antara kerjaya yang glamour. Namun, ia tidaklah semudah melakar dan merealisasikannya.

“Hakikatnya, ia memerlukan minda yang kreatif dan mampu berfikir dalam menghasilkan sesuatu rekaan serta menampilkan rekaan menarik.

“Sebagai seorang pereka, kami perlu berlapang dada menerima kritikan untuk memperbaiki prestasi.

“Bukan itu sahaja, mahir menjahit, mendraf pola serta membangkitkan cetusan warna, susunan dan potongan indah merupakan cabaran bagi setiap pereka,” tambahnya.

SYAHZANI mahu menceburi industri fesyen sebaik menamatkan pelajarannya.

Bercerita lanjut, menurut anak kedua daripada tiga orang adik-beradik ini lagi, pakaian bermotifkan serangga merupakan rekaan pertama yang dihasilkannya ketika berada di semester kedua pengajian.

“Saya masih tidak dapat melupakan pengalaman tersebut sehingga ke hari ini kerana proses menghasilkan rekaan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

“Ini kerana, saya perlu mengkaji setiap elemen yang terdapat pada serangga. Ditambah pula dengan pandemik menjadikan proses pem­belajaran hanya dilakukan secara dalam talian menerusi GoogleMeet dan video yang disediakan pensyarah sahaja.

“Pembelian fabrik juga menjadi sukar apabila kebanyakan kedai ditutup disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan,” kongsinya.

Bagaimanapun, berbekalkan usaha dan minat yang mendalam terhadap bidang tersebut, Syahzani berjaya menyiapkan rekaan itu dengan jayanya.

Berhasrat mahu menerokai dunia fesyen sebenar sebaik menamatkan pengajian kelak, Syahzani sudah mula berjinak-jinak dalam perniagaan berasaskan fesyen yang dikenali sebagai Syahzani Head Brand dan Syahzani RTW.

“Saya baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan pada tahun 2019. Sekarang saya masih mengusahakan perniagaan tudung jenama saya sendiri iaitu Syahzani Head Brand.

“Pada awalnya, saya menjalankan perniagaan ini hanya untuk menimba pengalaman dalam dunia perniagaan.

“Alhamdulillah, jenama tudung saya semakin mendapat tempat dalam kalangan remaja dan dewasa.

“Pada masa sama, saya melibatkan diri dalam kelas bisnes untuk persediaan awal sebelum mengorak langkah dalam menceburi bidang fesyen pakaian.

“Walaupun masih meneliti dan mengkaji kehendak dunia fesyen pada masa kini, jenama Syahzani RTW sentiasa memberi semangat kepada saya untuk terus berusaha merealisasikan impian sebagai pereka fesyen tersohor suatu hari nanti,” ujarnya.

POPULAR