fbpx

Barangan elektrik RM2 juta tanpa kelulusan dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kelengkapan elektrik yang dirampas pihak berkuasa dalam serbuan tersebut.

PETALING JAYA – Suruhanjaya Tenaga (ST) merampas peralatan elektrik yang tidak mendapat kelulusan dianggarkan bernilai RM2 juta dalam serbuan ke atas empat buah gudang di Kuala Lumpur, Pulau Pinang serta Johor

Serbuan itu dilakukan dengan kerjasama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta SIRIM hasil daripada aduan berkenaan penjualan kelengkapan elektrik secara online yang menggunakan label SIRIM palsu.

Pengarah Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Mohd. Elmi Anas berkata, kesemua barangan elektrik itu didapati gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Kelengkapan elektrik tersebut didapati gagal mematuhi beberapa keperluan undang-undang seperti tidak mempunyai Perakuan Kelulusan mengimport atau mengilang daripada ST sebelum ia dibawa masuk atau dikilang, tidak dilekatkan dengan label SIRIM-ST dan menggunakan label SIRIM-ST palsu.

“Antara barang yang dirampas dalam operasi itu seperti kabel pendawaian pelbagai saiz, lampu LED, soket air keluar serta penyesuai elektrik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, pihak ST akan menjalankan siasatan serta mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pengimport, pengilang atau penjual yang didapati gagal mematuhi Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

“Bagi kes pemalsuan label pula, tindakan undang-undang akan diambil oleh KPDNHEP di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730),” ujarnya.

Tegasnya, pengguna dinasihatkan untuk membeli kelengkapan elektrik yang hanya diluluskan ST dan dilekatkan label keselamatan SIRIM-ST bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian renjatan atau kebakaran. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI