fbpx

PPRN naratif baharu kolaborasi strategik akademia, industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD, Menteri Pengajian Tinggi

PEMBENTANGAN Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September lalu menandakan permulaan hala tuju baharu acuan pembangunan negara bagi lima tahun akan datang.

Antara pemangkin dasar RMK-12 yang ditekankan Perdana Menteri ialah bakat masa hadapan serta penerimagunaan teknologi dan inovasi.

Bagi menyokong perancangan untuk melonjakkan aspek pendigitalan dan teknologi, kerajaan memberi tumpuan terhadap pelaburan dalam sektor penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

Menyedari sektor tersebut perlu dipertingkatkan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) secara aktif menggalakkan prog­ram dan aktiviti yang berkaitan.

Salah satu inisiatif inovatif KPT adalah menerusi projek Ja­ringan Penyelidikan Awam-Swasta, atau Public-Private Research Network (PPRN) yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, di bawah Lonjakan 7: Ekosistem Inovasi.

Matlamatnya adalah untuk membangunkan ekosistem inovasi dalam bidang strategi kritikal yang secara langsung menyuntik pertumbuhan ekonomi negara melalui pemerkasaan peranan institusi pendidikan tinggi (IPT) sebagai penyelesai masalah kepada pihak berkepentingan termasuklah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Melalui PPRN, KPT memainkan fungsi sebagai perantara dan pemudah cara bagi pihak akademia yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu.

Dengan konsep kolaborasi strategik antara akademia dan industri dalam penyelidikan, PPRN menggalakkan inovasi berasaskan permintaan industri dalam memacu peningkatan produktiviti serta mengukuhkan pembangunan ekonomi Malaysia.

Sejak diperkenalkan pada 2015, sebanyak 660 projek kerjasama melibatkan syarikat daripada pelbagai sektor industri dan kumpulan penyelidik telah dilaksanakan.

Projek-projek tersebut me­rangkumi bidang pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian dengan melibatkan kos sebanyak RM27.96 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM22.3 juta (79.76 peratus) dibiayai oleh PPRN, manakala RM5.7 juta lagi (20.24 peratus) disokong syarikat. Sehingga kini, sebanyak 458 buah projek ditamatkan dengan jayanya.

Bagi tahun ini, sebanyak 13 projek telah diluluskan melibatkan kerjasama antara 13 kumpulan penyelidik dari IPT dan institusi penyelidikan awam dengan syarikat pelbagai sektor industri.

Kos untuk kesemua projek tersebut berjumlah RM849,018.14 dengan geran padanan daripada PPRN sebanyak RM610,772.07 (71.94 peratus), manakala RM238,246.07 (28.06 peratus) lagi dibiaya pihak syarikat.

Perusahaan T&M Mee Siput Enterprise di Batu Pahat memerlukan mesin yang berupaya meningkatkan pengeluaran dan kualiti mi siput yang dihasilkan.

September lalu, saya berkesempatan mengadakan sesi lawatan ke tapak Syarikat Bio Star Resources di Kampung Bintang, Peserai dan Syarikat T&M Mee Siput, Kampong Su­ngai Nibong, Semerah, Johor.

Syarikat Bio Star bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi membangunkan sebuah mesin memproses kopi Liberica demi me­ningkatkan produktiviti.

Sementara T&M Mee Siput pula menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi membangunkan mesin yang berupaya meningkatkan pengeluaran dan kualiti mi siput yang dihasilkan mereka.

Saya turut melawat ladang solar di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 26 September lalu bagi menyampaikan surat pemakluman pelaksanaan projek PPRN kepada syarikat Voltake Energy Services Sdn. Bhd. dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Mereka berganding bahu membangunkan Customized Semi-Automated IoT-based Por­table Solar Panel Cleaning System yang berupaya membantu meningkatkan kadar keberkesanan pencucian dan menambah baik panel solar.

Produk kopi yang dikeluarkan Bio Star Resources, hasil kerjasama kumpulan penyelidik UTHM diketuai Prof. Madya Dr. Nik Hisyamudin Muhd. Nor yang mengambil masa enam bulan bagi membangunkan mesin memproses Kopi Jambu dan Kopi Padi.

Pelaksanaan PPRN terbukti memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi terutamanya PMKS.

Kajian Impak Pelaksanaan Inisiatif PPRN yang dijalankan Malaysia Productivity Corporation (MPC) ke atas 230 buah syarikat yang menerima geran mendapati secara purata mereka berjaya meningkatkan produktiviti sebanyak 30 peratus selepas pelaksanaan projek.

Ini melibatkan pengura­ngan masa dan kos pengeluaran, peningkatan kuantiti dan kualiti produk, penambahbaikan ciri-ciri keselamatan, kebersihan dan ketepatan mekanisme pengukuran.

Syarikat turut menerima kesan positif dari segi penjimatan tenaga kerja melalui penambahbaikan proses dan produk se­perti penggunaan automasi, pendigitalan, formulasi yang le­bih baik dan sistem pintar.

Pelaksanaan PPRN terbukti bukan hanya memberi manfaat kepada industri semata-mata bahkan buat penuntut, pensyarah serta penyelidik IPT yang mendapat faedah menerusi pendedahan dan pengalaman sebenar.

Hubungan kerjasama penyelidikan dan inovasi boleh dijadikan pencetus dan titik tolak untuk aktiviti kolaborasi yang lain antara IPT dengan syarikat, termasuk peluang penempatan pekerjaan dan latihan industri.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI