fbpx

Pemergian Zulfarhan sentiasa dikenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Zulfarhan

Sedih, pilu, marah, geram dan kecewa.

Itu perasaan bercampur baur rakyat Malaysia yang mengikuti perjalanan kes kematian Pegawai Kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa lalu menjatuhi hukuman penjara 18 tahun ke atas enam tertuduh yang juga penuntut UPNM atas kesalahan menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh mangsa pada 2017. Turut diperintah menjalani hukuman penjara adalah 12 penuntut lain kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

Kejadian menimpa arwah Zulfarhan yang merupakan anak pemandu teksi dan kerani sekolah begitu dekat di hati rakyat Malaysia. Ramai yang menunggu pengakhiran kes ini biarpun melalui proses perbicaraan yang panjang.

Bukan tiada kes jenayah lain yang besar atau berprofil tinggi, namun kes kematian Zulfarhan diikuti rapat oleh rakyat Malaysia.

Ia mengenai kisah seorang pelajar yang menjadi anak harapan keluarga tetapi menemui ajal dalam keadaan yang tragis. Jika berdasarkan keterangan saksi-saksi di mahkamah, tidak sanggup untuk kita bayangkan apatah lagi tuan punya badan yang terpaksa mengerang kesakitan dengan 90 kesan tekapan seterika wap di tubuhnya sebelum menemui ajal.

Ia juga mengenai perjuangan Zulkarnain Idros dan Hawa Osman yang berkorban apa sahaja untuk menuntut keadilan ke atas kematian anak mereka.

Setiap kali perbicaraan, sosok pasangan ini yang memakai baju-T bercetak #saynotobully pasti kelihatan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Ramai yang tidak tahu pasangan suami isteri ini sanggup bertolak pukul 3 pagi dari Johor ke ibu negara untuk mengikuti perbicaraan. Hanya sekali mereka tidak hadir ke mahkamah kerana keadaan tidak mengizinkan disebabkan Hawa mengalami masalah katarak.

Ternyata kini, kes itu bertukar menjadi perjuangan keluarga arwah terhadap perbuatan buli. Kerana buli, mereka kehilangan anak tersayang buat selama-lamanya.

Kes kematian Zulfarhan membuka mata banyak pihak mengenai kes buli yang sebelum ini dianggap sebagai amalan biasa di sekolah dan institusi pendidikan sedangkan kejadian boleh dielak sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga mahu kes ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua terutama warga UPNM dan Angkatan Tentera Malaysia supaya tidak mengulangi perbuatan keji tersebut.

Sepasang suami isteri kehilangan zuriat mereka, negara juga kehilangan permata yang bakal menjadi pelapis suatu hari nanti. Tidak terkecuali keluarga 18 tertuduh kes tersebut yang turut ‘kehilangan’ anak masing-masing.

Sepatutnya fasa meningkat dewasa diisi dengan sebaik-baiknya, namun apa yang berlaku mereka terpaksa mengutip pengalaman di tirai besi. Ibarat peribahasa kalah menjadi abu, menang menjadi arang.

Semoga kejadian ini menjadi pengajaran yang berguna untuk semua termasuk kaki buli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI