PUTRAJAYA – Keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) meluluskan syor Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan membatalkan pelantikan lima pegawai kadet yang terlibat dalam kes buli dilihat sebagai tindakan tepat dan satu bentuk pengajaran.
Bapa Allahyarham Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idros turut menyifatkan tindakan segera itu sebagai ‘amaran keras’ kepada pembuli.
Katanya, dia menyambut baik dan bersetuju dengan keputusan dibuat yang dilihat sebagai satu isyarat kepada pembuli agar tidak melakukan penganiayaan kepada individu lain.
“Kumpulan itu (pembuli) juga perlu didakwa di mahkamah atas kesalahan mereka sebelum tindakan pembatalan lantikan dan pembayaran ganti rugi kepada kerajaan Malaysia dibuat.
“Seperti kes Allahyarham anak saya, pelaku didakwa di mahkamah dan kemudiannya baru diberhentikan dan perlu membayar ganti rugi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada kenyataan dikeluarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung lima pegawai kadet ALK yang diberhentikan kerja daripada Angkatan Tentera Malaysia ekoran terkait kes buli.
Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, pendakwaan di mahkamah juga membolehkan individu terlibat tidak dapat berkhidmat dalam sektor kerajaan dan swasta, sekali gus menjadi pengajaran untuk tidak melakukan penganiayaan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai langkah boleh dilaksanakan untuk mengatasi isu tersebut, katanya, pihak terlibat seperti UPNM dan ATM perlu membanyak pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV).
“Sebenarnya, ia agak sukar untuk mengawal pergerakan pelajar secara menyeluruh, jadi antara langkah sesuai ialah meningkatkan pemasangan CCTV di lokasi sesuai.
“Selain itu, perlu juga ada rutin ‘spot check’ yang dilakukan secara kerap seperti seminggu sekali bagi memastikan tiada hal tidak diingini berlaku kepada pelajar,” jelasnya.
Pada masa sama, Zulkarnain berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan satu akta khusus bagi menangani buli berikutan tindakan itu sering tercetus termasuk dalam kalangan pelajar sekolah.















