fbpx
Gambar hiasan

‘Petunjuk’ bomoh boleh buat orang mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBILANGAN masyarakat Islam masih mempercayai bomoh. Ada yang berjumpa untuk merawat penyakit, mencari barang hilang, mendapatkan pelaris selain mahu melakukan sihir penunduk atau pemisah kepada seseorang.

Kepercayaan turun temurun itu sukar dihakis apabila khidmat bomoh masih mendapat permintaan.

Bagi yang menderita penyakit tertentu, bomoh menjadi pilihan untuk berubat cara kampung.

Penulis pernah menemui seorang pesakit kanser usus berusia 44 tahun yang mendapatkan rawatan beberapa bomoh selepas sakit pada perut dan mempunyai masalah untuk membuang air besar sehingga menyebabkan perutnya membesar.

Hasil rawatan, bomoh-bomoh itu mendakwa dia terkena sihir sehingga menyebabkan perut membusung, selain ada mendakwa terdapat iblis di dalam perutnya dan meminta dia berpantang daripada memakai barang kemas.

Wanita itu yang berasa pelik membuat keputusan untuk tidak lagi mempercayai bomoh dan memberikan fokus kepada perubatan di hospital dengan melakukan pembedahan membuang usus dan kemoterapi. Dia selepas itu bebas daripada penyakit itu.

Penulis juga pernah berjumpa pesakit kanser rahim yang mendapatkan rawatan ‘bedah batin’ daripada seorang bomoh, sehingga menyebabkan prosedur perubatan yang sepatutnya dilakukan di hospital terlewat dengan sel kanser terus merebak.

Kepercayaan kepada bomoh yang menggunakan khidmat jin, mahupun bomoh temberang bukan sahaja perbuatan khurafat, malah ia amat ditegah dalam Islam.

Kemudaratan besar yang boleh dilihat apabila tilikan seorang bomoh yang kononnya mendapat ‘petunjuk’ kehilangan komputer riba menjadi punca Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain dibuli dan dipukul sehingga mati.

Episod hitam itu bermula apabila nama arwah antara yang disebut oleh bomoh tersebut untuk mengesan pencuri komputer riba milik salah seorang pelajar.

Imam Besar Masjid Negeri, Masjid Zahir, Syeikh Mohd Naim Ahmad tidak menafikan bahawa masih ada masyarakat bergantung kepada bomoh yang menggunakan khidmat jin.

“Kepercayaan kepada bomoh yang menggunakan khidmat jin ini sememangnya ditegah dalam Islam dan dalam surah Al-Jinn ayat enam menyatakan ada dalam kalangan manusia minta berlindung daripada ketua atau pemimpin golongan jin sehingga perbuatan itu menjadikan jin itu semakin jahat dan sombong.

“Ternyata ada larangan daripada Allah SWT untuk kita tidak sesekali berurusan dan menggunakan khidmat golongan jin itu,” katanya.

Kata beliau, perbuatan mempercayai bomoh boleh mengundang natijah yang buruk seperti tragedi menimpa Allahyarham Zulfarhan yang dibuli dan dipukul sehingga mati hanya kerana mempercayai kata-kata bomoh.

“Justeru, umat Islam perlu menjauhi kepercayaan kepada bomoh yang menggunakan khidmat jin termasuk penggunaan azimat atau tangkal serta bacaan ayat-ayat tidak difahami kerana ia dilarang oleh syarak,” ujarnya.

Namun begitu, kata beliau, umat Islam boleh berikhtiar dengan pengamal perubatan Islam yang hanya berpandukan ayat-ayat al-Quran serta tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN