fbpx

Ada prinsip, Amar Baharin tak pegang pendapat netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMAR BAHARIN

SEPANJANG bergelar anak seni, pelakon Amar Baharin cukup dikenali dengan watak lelaki romantis atau suami orang. Senang cerita, dia selalu memegang watak protagonis.

Mungkin kerana faktor air muka yang ‘lembut’ dan tidak bengis membuatkan lelaki itu sering diberi watak tipikal, sekali gus menyukarkan laluannya mencuba perkara berbeza.

Pun begitu ujar Amar, 36, meskipun dia teringin untuk lari daripada kebiasaan, namun sebagai pelakon, dia terpaksa akur dengan permintaan penonton yang selalunya gemarkan naskhah cinta.

“Majoriti penonton suka cerita begini, kalau tayang genre lain mungkin kurang sambutan. Kalau diikutkan, bukan saya tak nak cuba. Memang nak kalau diberi peluang sekali sekala.

“Cuma saya tak dapat lari daripada watak sebegini selagi ada orang yang suka. Kalau ada tawaran berlakon watak aksi suatu hari nanti, saya pun tak rasa untuk drama aksi beratus episod misalnya. Mungkin untuk telemovie saja,” katanya.

SERING menjayakan watak tipikal sebagai antagonis, Amar sekali sekala mahu menukar angin dengan mencuba watak aksi.

Akui pemilik nama lengkap Amar Mohd. Baharin itu, namanya tidak mungkin termasuk dalam senarai pelakon aksi sesebuah produksi kerana industri ada ramai Hero Malaya, tetapi dia tidak menolak peluang jika diberi kepercayaan.

“Dahulu pernah juga saya buat kelainan dengan bawa watak aksi dalam telefilem Patah Seribu bersama Sharnaaz Ahmad. Waktu itu, Michael Ang saja yang percaya dan beri saya peluang melakukan perkara di luar kebiasaan,” jelasnya.

Amar yang ditemu bual secara maya untuk drama lakonannya berjudul Hati Yang Dikhianati (HYD) baru-baru ini turut diajak berbicara tentang atmosfera dunia seni ketika ini iaitu topik ketandusan pelakon lelaki atau hero.

Melayangkan pandangan sendiri, suami kepada pelakon Amyra Rosli itu bagaimanapun berkata, dia melihat industri sekarang masih ada keseimbangan antara wajah baharu dan lama.

“Saya tengok masih seimbang antara hero lama dan baharu. Tapi kitaran industri memang begitu, akan ada yang baharu datang bersilih ganti setiap tahun. Jadi sekarang adalah fasa industri menggilap bakat baharu.

“Tapi pada saya, kadang kala tengok juga kepada jalan cerita. Ada naskhah yang perlukan orang lebih matang atau berusia untuk bawa sesuatu watak itu. Maka di situ menunjukkan bahawa hero-hero lama tetap relevan,” kongsinya.

Lebih konflik

Sementara itu, ketika diajak bercerita lanjut tentang drama HYD, Amar berkata, sambungannya menjanjikan lebih banyak konflik untuk penonton terutamanya melibatkan wataknya sebagai Zuhri Elyas.

“Untuk watak Zuhri, ada banyak konflik yang berlaku terutama selepas kemunculan Maria dalam hidupnya. Dia pula merupakan kakak ipar kepada Lisa lakonan Isyariana, jadi konflik tersebut agak memeningkan kepala,” katanya.

DALAM sambungan HYD, Amar mengakui peminat akan melihat perubahan ketara yang berlaku kepadanya terutama bentuk badan. 

Memandangkan penggambaran drama berkenaan disambung semula selepas dihentikan sementara gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0), Amar mengakui ada melalui cabaran tersendiri.

Semuanya kerana berlaku banyak perubahan pada dirinya terutama dari segi bentuk fizikal.

“Saya banyak berubah pada bentuk badan. Siapa yang tengok sambungan drama ini nanti akan dapat cam mana satu babak yang dilakukan sebelum atau selepas PKP. Sebab nampak ketara.

“Silap saya jugalah sebab tak jaga betul-betul. Duduk di rumah untuk tempoh empat bulan, kadang-kadang badan besar sebab bersenam, kemudian apabila bulan puasa, mengecut sikit. Agak susah untuk kekalkan bentuk badan,” tuturnya.

Selepas dihentikan pada Jun lalu, sambungan penggambaran HYD mendapat sentuhan pengarah kedua iaitu Bade Azmi bagi menggantikan Riza Baharuddin.

Berkongsi pengalaman bekerja bawah pengarahan Bade, Amar menyifatkan peluang tersebut sangat mengujakan kerana pengarah itu gemar berkongsi ilmu tentang dunia pengarahan.

DISEBABKAN HYD merupakan adaptasi daripada drama Venezuela, Mis Tres Hermanas, Amar bagaimanapun tidak menjadikan naskhah tersebut sebagai rujukan penuh untuk watak Zuhri Elyas kerana enggan mengganggu permainan dan jalan cerita.

“Seronoknya bekerja dengan Bade, dia gemar berkongsi pengalaman jadi pengarah ketika di set. Jadi sedikit sebanyak kami sebagai pelakon dapat menimba ilmu tentang pembikinan filem daripada ‘otai’ sepertinya.

“Kalau dengan Riza, dia ada cara permainan tersendiri dan gemar menambah baik skrip pada waktu itu juga. Kadang-kadang tak ikut babak pun. Sementara Bade pula, sinematografinya sangat cantik. Dari segi lakonan pula, dia beri kepercayaan kepada pelakon untuk bawa watak sendiri,” kongsinya.

Pegang prinsip

Kesempatan menemu bual bapa kepada dua cahaya mata itu tempoh hari turut mengajaknya berbicara tentang budaya boikot yang sedang diamalkan netizen sekiranya seseorang artis melakukan kesilapan.

Contoh terdekat adalah isu melibatkan Fauzi Nawawi yang dihentam kerana memperincikan tentang babak rogol melibatkan pelakon Raja Farah dalam filem Anak Halal terbitan 2007 yang sempat memanaskan dunia hiburan beberapa minggu lalu.

Turut terheret sama adalah pelawak Shuk Sahar yang menjadi sasaran kerana ramai netizen meluahkan rasa meluat mengapa dia masih diterima stesen televisyen meskipun kerap mencetuskan masalah seperti isu curang dan gemar membuat lawak lucah.

SEBAGAI orang yang bekerja dalam industri seni, Amar enggan menjadikan pendapat netizen sebagai pegangan hidup, namun tidak menafikan adakalanya pendapat mereka boleh diterima pakai.

Ujar Amar, selama menjadi anak seni, dia sekali pun tidak pernah berpegang kepada pendapat netizen kerana dirinya ada prinsip sendiri untuk diutamakan.

“Ada yang sokong dan sebaliknya, jadi kita nak duduk di mana? Boleh jadi gila sebenarnya kalau kita ikut cakap orang.

“Tapi saya akui, tetap ada pendapat mereka yang boleh diterima. Cuma bagi saya kalau untuk menjawab soalan berkenaan isu baru-baru ini, memang tak wajar nak boikot sebab pelakunya sudah pun meminta maaf dan mengaku silap,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI