fbpx

Teruja dekati budaya Bali, Nourul Depp digamit rindu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAHAGIA di Bali, Nourul mengakui amat merindukan anak sulungnya, Ayu di Kuala Lumpur.

PETALING JAYA – Lebih sebulan berhijrah ke Bali, Nourul Depp mengakui semakin serasi dengan kehidupan baharu di pulau peranginan popular tersebut walaupun amat merindui anak sulungnya di Kuala Lumpur.

Katanya, panggilan telefon dan video menjadi pengikat kasih antara mereka dipisahkan beribu batu tambahan pula Ayu Nazirah, 23, turut mengendalikan program Divakurus by Nourul Depp di tanah air.

“Alhamdulillah, anak-anak kini sudah mula menjalani rutin harian ke sekolah sekali gus membuatkan rutin harian kami bertambah aktif, namun pada masa sama mereka teruja bertemu rakan baharu dan mendekati budaya di sini.

“Melihat anak-anak seronok berkongsi cerita di sekolah serta melihat perkembangan sekeliling dengan rasa gembira menjadikan momen yang kami lalui kini semakin menyeronokkan.

“Cuma sebagai seorang ibu, tentu hati dan perasaan saya sentiasa teringat pada puteri kami, Ayu tambahan pula ketika adik-adiknya sering bertanyakan bila kakak mereka akan datang.

“Apa pun, panggilan video mendekatkan kami seperti sedang berborak seperti biasa malah boleh dikatakan hari-hari kami berhubung dan bertukar cerita seolah-olah duduk serumah,” katanya kepada Kosmo! Online.

Terdahulu, pemilik nama sebenar Noorul Huda Abdul Wahab, 44, merealisasikan impiannya dan suami, Eric Daniel Depp sejak tiga tahun lalu untuk berpindah ke pulau peranginan itu demi anak-anak mereka.

Selepas beberapa bulan perancangan tertunda disebabkan situasi semasa pandemik Covid-19 di arena global, akhirnya pada 19 September lalu keluarga kecil itu ‘terbang’ ke Jakarta, Indonesia untuk proses kuarantin sebelum tiba di Bali.

Menerusi perkahwinan yang dibina pada 2012, pasangan terbabit dikurniakan dua putera, Zachary, 8, dan Raphael, 6, selain puteri bongsu yang kini berusia dua tahun. Ayu adalah anak daripada perkahwinannya dengan bekas suami, Ajai.

Sebelum ini ramai pernah tertanya-tanya punca puteri sulungnya tidak menyertai mereka dan Nourul memaklumkan perkara tersebut melibatkan proses dokumentasi selain anaknya itu bukan di bawah umur.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan terkini, penyanyi Kerana Terluka memaklumkan tugasan mengendalikan program kecergasan yang mempunyai ramai peserta berjalan seperti biasa.

Dia meluahkan rasa lega apabila disokong pasukan yang kuat terutama di tanah air sehingga pelbagai urusan terutama ketika baharu tiba Bali dipermudahkan tanpa sebarang masalah.

“Dari segi program Divakurus semuanya okey. Dari sudut kerjaya nyanyian pula saya harap dengan situasi Covid-19 yang semakin menunjukkan perkembangan positif ini industri seni hiburan tanah air juga dapat bernafas kembali.

“Walau jauh di mata, Malaysia tetap di hati dan harapan saya tidak kira di sini mahu pun di negara tercinta, situasi yang serba mencabar ini menjadi bertambah baik seperti dahulu.

“Lebih sebulan di sini saya turut berpeluang mengenali ramai rakan baharu termasuk masyarakat tempatan, warga Itali, Perancis dan ramai lagi yang mendekatkan kami dengan pelbagai budaya,” kongsinya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI