fbpx

Ikut saf masjid, bukan saf sejadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MASYARAKAT Islam kini boleh menarik nafas lega apabila semua masjid dan surau di seluruh negara mula membuka pintunya kepada para jemaah kembali bersolat secara berjemaah setelah beberapa bulan terpaksa ditutup angkara pandemik Covid-19.

Walaupun kapasiti kehadiran ke rumah-rumah Allah itu masih dihadkan kepada jumlah-jumlah tertentu mengikut negeri selain terpaksa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, namun sudah cukup melegakan banyak pihak.

Bagaimanapun, dalam keghairahan kita untuk kembali ke rumah-rumah Allah itu, sebahagian daripada kita mungkin sudah ada yang terlupa tentang adab-adab solat berjemaah dan peri pentingnya untuk meluruskan saf sebelum kita memulakan solat secara berjemaah.

Mungkin kerana sudah lama tidak ke masjid atau surau, selain terpaksa menunaikan solat dalam keadaan penjarakan fizikal, maka isu mengenai meluruskan saf ini sering ada yang terlepas pandang walaupun para imam mahupun jemaah tertentu sering mengingatkan para jemaah supaya meluruskan saf sebelum memulakan solat.

Masalah yang sering berlaku dalam kalangan segelintir jemaah ketika ini ialah, saf mereka adalah mengikut kedudukan sejadah yang dibentangkan sebelum memulakan solat tanpa mengikut saf yang sudah ada di karpet masjid.

Akibatnya, saf para jemaah menjadi tidak lurus kerana ada jemaah yang bersolat dengan saf mengikut kedudukan sejadah masing-masing tanpa berpandukan kepada saf-saf yang sebenar di karpet masjid.

Perihal meluruskan solat ini amat ditekankan oleh Rasulullah SAW sendiri dengan sabda baginda; “Luruskanlah saf kamu atau Allah akan memalingkan wajah-wajah di antara kamu.” (Riwayat al-Bukhari (717).

Oleh itu, para imam serta makmum yang lain mungkin boleh memainkan peranan untuk memastikan jemaah-jemaah yang ‘terlupa’ ini agar meluruskan saf masing-masing sebelum memulakan solat.

Caranya mudah saja, pastikan tumit kaki masing-masing mesti berada dalam saf yang tersedia di karpet masjid sehingga berada selari dengan jemaah yang ada di kiri serta kanan kita dan bukannya mengikut kedudukan sejadah yang dibentangkan.

Bagi mereka yang ingin menegur pula, lakukan dengan cara yang baik dan berhemah agar tiada pihak-pihak yang terguris akibat teguran kita walaupun niatnya baik.

Seeloknya, kita sebagai jemaah seharusnya peka dan faham dalam menyempurnakan saf ini termasuk meluruskan saf kerana perbuatan itu termasuk dalam kesempurnaan solat.

Jadi, sebelum memulakan solat, periksa dulu kedudukan saf kita serta orang di depan serta kiri dan kanan agar semuanya berada pada tempatnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI