fbpx
NADIA menunjukkan sajian mi udang yang ditawarkan di kedai Usop Mee Udang Laut di Pulau Sayak, Kota Kuala Muda, Kedah.

Santai tepi pantai nikmati keenakan mi udang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PULAU SAYAK di Kota Kuala Muda menjadi tumpuan orang ramai terutama dari sekitar Kedah sejak negeri tersebut beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 1 Oktober lalu dek kerinduan terhadap mi udang yang merupakan sajian signatur di situ.

Selain dapat menjamah hidangan lazat itu, pengunjung juga boleh bersantai di tepi pantai bersama rakan-rakan dan keluarga terutamanya pada cuti hujung minggu.

Perniagaan mi udang kembali ‘bernyawa’ sejak Kedah beralih ke Fasa 2 PPN apabila rakyat Kedah yang sudah lengkap dua dos vaksin sudah boleh merentas daerah dan menikmati makanan secara dine-in.
——————————————————————————————————-

MENIKMATI sepinggan mi udang segar gred A sambil mendengar desiran bunyi ombak dan menyaksikan matahari terbenam merupakan antara ‘pakej’ istimewa yang ditawarkan kepada pengunjung di Pulau Sayak, Kota Kuala Muda, Kedah.

Justeru itu, tidak hairanlah Pulau Sayak yang sinonim dengan mi udang diserbu pengunjung yang rindukan suasana itu sebaik sahaja Kedah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 1 Oktober lalu disusuli kebenaran merentas negeri kira-kira 11 hari selepas itu.

Sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, Pulau Sayak yang terletak berdekatan Pantai Merdeka dan Dataran Tsunami itu sememangnya menjadi lokasi tumpuan penggemar mi udang terutama pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

Selain dapat menikmati keenakan mi udang yang menjadi hidangan signatur Pulau Sayak, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lain seperti mandi-manda, berkelah, memancing dan mencari siput.

Kini, terdapat kira-kira lima buah kedai untuk menikmati mi udang di Pulau Sayak yang menawarkan juadah tersebut pada harga antara RM13 hingga RM20 mengikut saiz dan berat udang.

Kelazatan mi udang di kedai-kedai itu hanya boleh ditentukan oleh selera pelanggan kerana setiap kedai mempunyai keunikan rasa mi udang tersendiri.

BEGINILAH suasana di kedai Yaakob Mee Udang Segar yang kian dipenuhi orang ramai untuk menikmati sajian enak itu sambil menyaksikan keindahan pantai.

Oleh itu tidak hairanlah jika semua kedai mi udang dipenuhi pelanggan yang memilih untuk makan di kedai yang sesuai dengan cita rasa mereka.

Kru K2 baru-baru ini mendapati tiga buah kedai mi udang Pulau Sayak sudah beroperasi secara dine-in. Tiga kedai tersebut ialah Yaakob Mee Udang Segar, Usop Mee Udang Laut dan Pak Su Mee Udang.

Daripada pemerhatian, ketiga-tiga kedai berkenaan kelihatan meriah dengan kehadiran pengunjung, namun masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pemilik kedai Yaakob Mee Udang, Kalsom Mat Jani, 66, berkata, perniagaan mi udang kembali ‘bernyawa’ sejak Kedah beralih ke Fasa 2 PPN apabila rakyat Kedah yang sudah lengkap dua dos vaksin sudah boleh merentas daerah dan menikmati makanan secara dine-in.

Katanya, pihaknya menerima jumlah pelanggan yang ramai pada tiga hari pertama pelaksanaan PPN Fasa 2 memandangkan ia jatuh pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Jumlah pelanggan yang datang untuk makan mi udang dalam tempoh tiga hari pertama itu sangat luar biasa.

“Situasi itu sedikit sebanyak memberi semangat kepada kami untuk berniaga semula setelah sekian lama tidak dapat beroperasi secara dine-in,” ujarnya ketika ditemui di kedainya baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun mereka sudah beroperasi dengan menjual makanan secara bungkus kira-kira dua minggu sebelum ini, namun kesannya tidak sama seperti makan di kedai.

“Keistimewaan dan tarikan utama mi udang Pulau Sayak adalah apabila pelanggan dapat makan di kedai sambil menikmati pemandangan laut yang mendamaikan bersama ahli keluarga dan rakan-rakan mereka,” jelasnya.

Bercerita lanjut, Kalsom berkata perniagaan mi udang di Pulau Sayak ini dahulunya diusahakan secara kecil-kecilan sahaja oleh penduduk setempat sebelum menjadi terkenal seperti sekarang.

Menurutnya, mi udang Pulau Sayak terkenal disebabkan ‘promosi’ dari mulut ke mulut oleh penduduk tempatan dan orang luar yang pernah berkunjung ke sini.

“Disebabkan itu perniagaan mi udang di sini semakin berkembang dan menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan luar Kedah sehingga ke hari ini,”ujarnya.

Tambah Kalsom, kedai mi udangnya itu telah diusahakan oleh arwah suaminya, Allahyarham Yaakob Hashim kira-kira 30 tahun lalu.

“Kedai mi udang kami adalah antara yang terawal di Pulau Sayak yang mana ketika itu kami buka warung kecil yang diperbuat daripada papan sahaja,” katanya.

Kalsom berkata, dia kini menguruskan legasi perniagaan mi udang peninggalan arwah suami yang meninggal dunia kira-kira tiga tahun lalu dengan dibantu lapan anak serta tiga menantu.

Katanya, walaupun suaminya sudah tiada, namun resipi mi udang cetusan idea arwah suaminya itu masih dikekalkan sehingga ke hari ini.

“Kami masih menggunakan resipi asal mi udang Yaakob seperti 30 tahun lalu walaupun tugas memasak mi udang itu kini sudah beralih kepada anak-anak,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Kedai Usop Mee Udang Segar, Nadia Fatin Md. Yusoff, 32, berkata, kedai mi udangnya kini kembali meriah dengan kehadiran pelanggan dari serata negeri.

Nadia yang juga anak kepada pemilik kedai tersebut berkata, lebih 100 kilogram (kg) udang gred A dan B diperlukan sehari untuk memasak mi udang pada tiga hari pertama pelaksanaan PPN Fasa 2 baru-baru ini.=

Katanya, jumlah berat udang tersebut adalah sama seperti jumlah berat udang yang diperlukan untuk setiap hujung minggu sebelum pandemik Covid-19.

KERETA-KERETA yang memenuhi ruang di sekitar kedai menunjukkan sektor pelancongan di Pulau Sayak kembali bernyawa.

“Bekalan udang tersebut diperolehi dari Pulau Sayak, Kuala Kedah dan Kuala Perlis,” jelasnya ketika ditemui di kedainya.

Tambahnya, mi udang di Kedai Usop Mee Udang Segar ini terkenal dengan rasanya yang penuh dengan kemanisan isi udang laut ditambah pula dengan panorama laut yang mendamaikan.

“Kuah mi udang di kedai kami agak cair kerana kami tidak mencampurkannya dengan air rebusan daging sebaliknya hanya bergantung kepada air rebusan udang,” ujarnya.

Tambahnya,selain mi udang mereka turut menyediakan lebih daripada 10 pilihan menu lain berasaskan udang.

“Selain mi udang, pelanggan juga mempunyai pilihan lain seperti nasi, bihun atau kuetiau serta masakan bergoreng.

“Kami turut menambah menu mi kari udang sebagai menu baharu di kedai ini,” ujarnya.

PULAU SAYAK mempunyai persekitaran pantai yang indah dan pasir yang memutih.

Seorang pelanggan dari Baling yang ditemui, Salahuddin Talib,29, berkata Pulau Sayak menjadi destinasi makan angin pilihan mereka sekeluarga selepas dibenarkan merentas daerah.

Katanya, kebiasaannya mereka akan singgah makan di Kedai Usop Mee Udang Segar Pulau Sayak sebaik sahaja selesai bersiar-siar di Pantai Merdeka.

“Kami suka singgah makan di sini kerana kepelbagaian masakan udang yang segar dan manis selain kedudukan kedainya yang strategik kerana berdekatan dengan pantai,” ujarnya.

Seorang lagi pengunjung dari Padang Serai, Kulim, Siti Khalijah Zainon, 40, berkata, Yaakob Mee Udang Segar menjadi destinasi pilihan mereka sekeluarga untuk menikmati mi udang segar.

“Setelah sekian lama berkurung di rumah, lega rasa bila dapat keluar makan angin di sini.

“Mi udang di sini memang sedap dan sesuai dengan selera kami sekeluarga,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN