fbpx

Pura-pura minta makanan sebelum rompak mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek dan barangan yang dirampas.

KUALA LUMPUR – Taktik sekumpulan perompak menyamar sebagai orang susah dengan meminta makanan sebelum merompak mangsa terbongkar dengan penahanan tiga individu di sekitar daerah ini, semalam.

Ketiga-tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 16 hingga 35 tahun itu diberkas pukul 11 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Jinjang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa yang berumur 51 tahun telah didatangi suspek wanita ‘berlakon’ untuk meminta makanan daripada mangsa pada pukul 10 malam ketika berada dalam sebuah bilik di kawasan kuil Sri Maha Karumariamman, Jalan Segambut, dekat sini, kelmarin.

“Sebaik mangsa yang merupakan warganegara India membuka pintu, dua lelaki menyerbu mangsa lalu memukulnya dengan kayu di kepala, badan dan muka.

“Suspek turut melarikan sebentuk cincin emas, passport, wang tunai RM500 dan dua buah telefon bimbit milik mangsa,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati modus operandi kumpulan berkenaan yang didalangi seorang wanita akan bertindak menyamar sebagai orang susah yang datang meminta makanan.

“Semasa urusan mendapatkan bekalan makanan dilakukan, dua orang suspek yang berada di luar kawasan kuil telah masuk dan memukul mangsa sebelum melarikan barangan berharga milik mangsa,” ujarnya.

Jelas beliau, ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut dan salah seorang suspek disiasat dibawah Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 kerana mempunyai beberapa tatu di badan disyaki ahli kumpulan pertubuhan yang tidak sah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI