fbpx

Negara ASEAN perlu bangunkan infrastruktur digital inklusif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa negara ASEAN agar membina infrastruktur digital bersifat inklusif agar ia lebih mudah diakses dan mampu milik untuk semua dalam usaha membentuk semula ekosistem digital.

Ia merupakan perkara pertama daripada tiga cadangan bagi membentuk semula ekosistem digital yang diutarakan beliau pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN 2021 hari ini.

Menurutnya, berpegang kepada kepercayaan tersebut, Malaysia telah mengambil langkah untuk menambah baik infrastruktur asas dengan memperkenalkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) awal tahun ini selari dengan Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR).

“Sasaran kami adalah untuk mentransformasikan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dipacukan teknologi serta berasaskan digital, pada masa sama meningkatkan infrastruktur digital bagi ketersambungan lebih lancar dan luas.

“Aspirasi ini sedang dilaksanakan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan peruntukan sekitar AS$6.7 bilion (RM27.8 bilion). Ia bermatlamat untuk meningkatkan kualiti dan liputan jalur lebar sementara membuka laluan kepada teknologi 5G,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN 2021 hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kesemua inisiatif tersebut membolehkan Malaysia meningkatkan tahap persediaannya serta menjadi pemangkin ekosistem kondusif untuk ekonomi inovatif.

Cadangan kedua, katanya, adalah mempromosikan literasi digital inklusif, dengan Malaysia memberi penekanan kepada penyediakaan bakat-bakat digital sebagai satu daripada strategi yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Di bawah pelan ini, langkah-langkah berterusan bagi meningkatkan kemahiran dalam literasi digital diambil untuk memastikan tenaga kerja tersebut kekal relevan pada bila-bila masa.

“Malaysia konsisten mengembangkan latihan industri, yang termasuk latihan pendidikan teknikal dan vokasional, penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan dan inovasi,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, semua usaha berkenaan adalah bertujuan membangunkan bakat digital yang lebih bersedia dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Menerusi pendekatan menyeluruh ini, kami percaya lebih ramai akan bersedia dengan kemahiran diperlukan bagi perkembangan inklusif. Dalam pada itu, jurang kemahiran digital di rantau ASEAN akan dirapatkan.

“Ia penting bagi menjamin kerjasama lebih baik dan kemakmuran dalam kalangan negara ASEAN, memandangkan sesetengah daripadanya mempunyai penembusan digital lebih daripada 90 peratus manakala yang lain hanya 40 peratus,” katanya.

Cadangan ketiga pula, menurut beliau, adalah negara ASEAN perlu meningkatkan tahap digitalisasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

“Pendekatan ini adalah penting bagi Malaysia kerana golongan tersebut menyumbang lebih dari 90 peratus perniagaan dalam ekonomi ASEAN. Tanpa langkah persediaan, kami mungkin menjadi antara negara yang paling terkesan pascapandemik.

“Justeru, pelaksanaan berkesan teknologi digital adalah penting bagi membangunkan semula ekonomi. Hingga hari ini, kami membangun secara konsisten dalam meluaskan akses pasaran pengusaha mikro, kecil dan sederhana, pada masa sama membina ekonomi digital inklusif,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI