fbpx

Halusinasi dadah punca penganggur ugut bunuh anak saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

AMPANG – Halusinasi angkara dadah dipercayai punca seorang lelaki naik angin lalu mengamuk dan mengugut untuk membunuh anak saudaranya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tasik Tambahan, dekat sini awal pagi tadi.

Bagaimanapun, lelaki yang berusia 22 tahun dan tidak bekerja itu berjaya diberkas polis sebaik menerima laporan daripada mangsa yang bekerja sebagai jurujual.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.45 pagi semasa wanita (mangsa) yang berusia 17 tahun dan keluarga berada di rumah telah didatangi suspek yang merupakan bapa saudaranya.

“Suspek telah masuk ke dalam rumah dari ruang tamu dan memandang kepada kakak kandung mangsa sambil menyatakan apa masalah yang dihadapi dengan wanita tersebut.

“Suspek kemudiannya ke dapur untuk mengambil pisau lalu meluru ke arah mangsa dan mengacukan pisau berkenaan sambil menggugut untuk membunuhnya,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebaik menerima maklumat, polis bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya memberkas suspek termasuk merampas sebilah pisau warna silver yang digunakan semasa kejadian.

Katanya, semakan mendapati punca pergaduhan disyaki suspek dalam keadaan halusinasi akibat pengaruh dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang masih bujang dan sudah kematian ibu bapa positif dadah jenis syabu dan ditahan reman selama empat hari hingga Khamis ini.

“Ini merupakan kejadian kedua yang mana sebelum ini suspek pernah dituduh dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana mengugut mahu membunuh mangsa pada Ogos lalu dan telah dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 KK kerana kesalahan menakutkan secara jenayah dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu memasukkan dadah dalam badan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI