fbpx

‘Belanja’ jadi punca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SEJAK akhir-akhir ini, media sosial banyak melaporkan kes gangguan seksual melibatkan pelbagai latar belakang individu.

Bermula daripada ahli agama, selebriti, atlet, kakitangan beruniform sehingga kepada orang perseorangan.

Ironi, walaupun kes ini bukan baharu dalam kehidupan kita, namun ia seolah-olah menjadi perkara biasa bagi sesetengah individu walaupun perbuatan itu memberi aib dan ‘malu’ besar kepada mangsa.

Persoalan yang cuba penulis ingin bangkitkan adalah punca terjadinya gangguan seksual ini, adakah kerana wanita ‘suka belanja’ ataupun lelaki terlebih miang dan sukar mengawal nafsu.

Menerusi pemerhatian ke atas kes yang dilaporkan sebelum ini, tarikan fizikal dan personaliti merupakan faktor utama berlakunya gangguan seksual terhadap wanita.

Wanita yang berwajah cantik lebih cenderung diganggu berbanding wanita yang kurang cantik.

Selain itu, wanita yang berpakaian seksi, mempunyai potongan badan yang menarik dan berperwatakan moden adalah lebih terdedah kepada gangguan seksual.

Bagi sesetengah golongan wanita, keterampilan yang moden sering menjadi salah satu sebab mengapa perkara ini terjadi.

Selain itu, berdasarkan satu kajian yang dilakukan oleh Ohio State University sebelum ini mendapati, para lelaki mengaku mereka memikirkan tentang seks 19 kali sehari berbanding wanita sebanyak 10 kali sehari.

Sementara itu, dalam kajian lain yang dibuat pada tahun 2009 yang melibatkan 600 orang dewasa di Guangzhou, China pula, seramai 48.8 peratus wanita dan 68.7 peratus lelaki mengaku mereka melakukan onani.

Melalui dua kajian ini, dapat disimpulkan bahawa lelaki akan mudah ‘terangsang’ dan terjerumus untuk melakukan gangguan seksual jika wanita suka menayang atau ‘belanja’ aset yang ada pada mereka secara terbuka.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Hazli Zakaria berkata, selain mendatangkan aib kepada mangsa, gangguan seksual juga akan memberi kesan trauma, penindasan, penderaan, ketidakadilan kepada mangsa sepanjang hidupnya.

“Sebagai contoh, memanggil gelaran tidak elok akan mengingatkannya pengalaman masa lampau hingga mendatangkan kesan berganda kepada psikologinya.
“Mungkin pada masyarakat ia adalah gurauan atau perkara biasa tetapi pada mereka (mangsa) ia akan menjadi lebih terkesan hingga mencetuskan masalah lain berikutan ia merendahkan emosinya,” katanya.

Tambah Hazli, kesan trauma kepada mangsa itu juga boleh menjadi punca isu kemurungan, mudah cemas dan panik hingga membawa kepada kesihatan mental.

“Lazimnya, mangsa yang dimalukan di khalayak ramai berasa terhina atau rendah diri hingga membawa gangguan stres pasca trauma, iaitu bukan disebabkan kemalangan atau faktor lain,” katanya.

Nasihat penulis kepada wanita di luar sana, pakailah pakaian yang sopan serta tidak mencolok mata ketika di khalayak ramai kerana anda mudah menjadi sasaran atau mangsa kepada lelaki miang serta gila seks.

Akhir kata, bagi mengelakkan jenayah ini daripada terus ‘membarahi’ masyarakat di negara ini, kerajaan perlu menggubal segera akta berkaitan agar mangsa gangguan seksual dapat dilindungi dan pelaku juga mendapat hukuman yang setimpal. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI