fbpx
DEEYA (kiri) dan suaminya, Khirun Anuar Mali (kanan) memantau tugasan pekerja. Gambar hiasan

Cabaran pandemik ajar Deeya erti kesabaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“PANDEMIK Covid-19 yang membadai dunia termasuk negara kita benar-benar tidak akan saya lupakan impaknya.

“Manakan tidak, bukan sahaja ramai yang hilang sumber pendapatan dan pekerjaan, malah banyak juga perniagaan terpaksa gulung tikar disebabkan wabak maut ini.”

Demikian luahan ibu kepada empat orang anak, Deeya Kamarozzaman, 33, tatkala mengenangkan semula nasib yang menimpa perniagaan kaftan diusahakannya sejak tahun 2018.

Katanya, dia sebelum ini tidak pernah terfikir bahawa kedatangan pandemik Covid-19 betul-betul memberikan impak buruk dalam banyak aspek termasuklah perniagaan.

“Pengalaman yang pahit dan tidak pernah saya lupakan adalah ketika menguruskan perniagaan era pandemik.

“Ketika jenama yang saya usahakan, Laudeeya sedang berkembang, saya terpaksa menanggung kerugian lebih daripada RM80,000 disebabkan aktiviti pengeluaran yang terpaksa dihentikan.

“Pengeluaran tergendala 100 peratus. Kain tidak dapat dikeluarkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan ketika itu,” katanya kepada Aura.

DEEYA mula menceburi perniagaan kaftan dan pakaian eksklusif sejak tahun 2018.

Meneruskan cerita, dia terpaksa memulangkan semua duit pelanggan yang sudah menempah secara tempahan awal untuk koleksi perayaan Laudeeya pada ketika itu walaupun dalam keadaan yang agak terhimpit.

“Saya tiada pilihan pada ketika itu. Wang yang sudah dibayar pelanggan terpaksa kami pulangkan segera kerana tempahan mereka tidak dapat dikeluarkan.

“Itu belum dikira jumlah kerugian yang terpaksa saya alami dari segi modal, kos pengeluaran, percetakan, operasi dan lain-lain,” luahnya yang menganggap itu semua cabaran dan resam yang terpaksa dihadapi sebagai seorang usahawan.

Ujar Deeya lagi, perkara tersebut juga secara tidak langsung mematangkan dan mengajar dirinya erti kesabaran.

Deeya juga sedar hal sebegitu harus ditempuhi semua peniaga termasuknya.

Menyorot kembali cerita lama yang menjadi titik tolak kepada penglibatannya dalam arena bisnes, Deeya sendiri langsung tidak pernah terfikir boleh memiliki perniagaan

Katanya, sebelum terjun dalam perniagaan dan mengasaskan Laudeeya tiga tahun lalu, dia sendiri pernah bekerja dengan orang lain dan hanya makan gaji.

DEEYA bersama suami dan kakitangan yang menjadi tonggak kejayaan Laudeeya dalam arena perniagaan berasaskan fesyen di negara ini.

“Pendapatan pada ketika itu memang terhad dan orang kata hanya cukup-cukup makan. Bertahun juga saya kerja dengan orang di samping membantu suami yang turut bekerja makan gaji.

“Jadi lama-kelamaan terdetik di hati saya sampai bila boleh bertahan dengan hidup makan gaji dan sampai bila syarikat yang saya bekerja mampu mengupah saya?

“Deri detik itu jugalah saya mula perlahan-lahan kumpul sedikit wang dan menggunakan wang simpanan yang ada untuk dijadikan modal permulaan perniagaan.

“Saya dan suami pun sebelum itu sama-sama duduk berbincang dan nekad memulakan perniagaan kaftan di bawah jenama Laudeeya,” katanya yang memilih segmen perniagaan tersebut kerana minat mendalamnya terhadap dunia fesyen.

Deeya kini mampu berbangga kerana Laudeeya yang mengeluarkan kaftan, tudung dan pakaian eksklusif bukan sahaja dikenali dan menempa nama dalam bidang fesyen, namun turut dijadikan gelanggang serta pintu rezeki bagi sesetengah orang yang ingin menambah pendapatan.

Menyentuh mengenai perancangan Laudeeya untuk jangka masa panjang, Deeya berkata, dia mahu menyebar luas jenama itu menerusi pengenalan beberapa barisan produk lain seperti kosmetik.

POPULAR

BERITA BERKAITAN