fbpx
Sajat

Saya rasa terkongkong di negara sendiri – Sajat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kontroversi yang melanda usahawan, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat tidak berakhir di negara sendiri sebaliknya kisahnya kini mula mendapat perhatian media antarabangsa.

Menerusi temu bual bersama The New York Times, Sajat mendakwa dia lebih bebas dan menemui dirinya yang sebenar selepas berhijrah ke Australia.

“Saya rasa terkongkong di negara sendiri, di tempat saya dilahirkan sebab undang-undang ‘menjenayahkan’ saya dan menganggap saya sebagai seorang lelaki,” memetik laporan agensi media itu.

Dalam temu bual tersebut, Sajat turut mendakwa telah diraba pihak berkuasa agama ketika dipanggil untuk memberi keterangan pada Januari lalu.

Katanya, kejadian itu disaksikan ibunya sendiri yang menegur dan mempertikaikan perbuatan berkenaan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang yang alim.

“Mereka berasa tidak salah menyentuh bahagian sulit dan dada kerana menganggap saya lelaki. Mereka tidak melayan saya dengan belas kasihan atau kemanusiaan.” katanya.

Sajat membuat laporan polis selepas kejadian itu dan beberapa hari selepas itu pihak berkuasa berkata seorang pegawai penguat kuasa agama telah dipanggil memberi keterangan.

Menurut Sajat, kejadian tersebut berlaku pada Januari lalu ketika dia dipanggil ke Jabatan Agama, di mana dia dan beberapa anggota keluarga serta rakan telah menemui pegawai-pegawai yang mendakwa menerima aduan awam mengenainya.

Usahawan kontroversi tersebut turut mendakwa telah dikasari tiga lelaki termasuk diraba pada bahagian dada sebelum dia dimasukkan ke tempat tahanan lelaki selama sehari.

Pada Isnin lalu, Kosmo! Online melaporkan, Nur Sajat mengesahkan dia telah berhijrah ke Australia dan telah sah ‘bercerai’ talak tiga dengan Malaysia.

Menerusi perkongsian video secara langsung di Instagram miliknya, Sajat kini secara rasmi berhijrah ke Australia dan sedang menjalani kuarantin di Canterbury selain menyatakan pendiriannya untuk tidak akan kembali lagi ke Malaysia. – K! ONLINE.

POPULAR