fbpx
Syazwan Afiq (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini untuk menghadapi pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan bawah umur minggu lalu.

Anak kontraktor didakwa perkosa remaja bawah umur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Seorang pengurus tapak projek pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperkosa teman wanitanya yang merupakan remaja bawah umur di sebuah rumah di sini, Jumaat lalu.

Tertuduh, Syazwan Afiq Shariff, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol seorang kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berusia 14 tahun tiga hari.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah di Kampung Kubang Tuman, Jalan Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 5 pagi pada 15 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, Roshayati Hassan.

Terdahulu, Ahmad Farid tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan serius terhadap remaja bawah umur.

Roshayati dalam rayuannya memohon ikat jamin yang rendah dikenakan terhadap anak guamnya selain tertuduh telah berjanji untuk tidak menggangu mangsa sekiranya diberikan jaminan.

“Keluarga tertuduh terutamanya bapa telah memberi jaminan bahawa tertuduh tidak akan berhubung dan mengganggu mangsa selepas ini. Difahamkan, mangsa juga diambil oleh bapa saudaranya dan kini tinggal berjauhan dengan keluarga.

“Selain itu, bapa tertuduh yang merupakan seorang kontraktor juga sedia membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah,” katanya.

Ahmad Bazli membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis terdekat sekali sebulan

Mahkamah turut menetapkan tarikh 2 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah. – K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN