fbpx

Kejar hampir 90 minit usir bot bawa 40 PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot penyeludup yang berjaya diusir pasukan keselamatan dalam Ops Benteng awal pagi tadi.

KLANG – Kecekapan pasukan keselamatan berjaya mengagalkan cubaan membawa masuk 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di sekitar perairan Morib, di sini awal pagi tadi.

Kesemua 40 PATI itu yang menaiki sebuah bot penyeludup dikenali KM Sinar Utama dari negara jiran itu kemudiannya berjaya diusir selepas berlaku adegan mengejar selama 90 minit bermula pukul 2 pagi.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, terdahulu Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (PUSOP) menerima maklumat risikan berkaitan pergerakan keluar sebuah bot disyaki membawa PATI dari Tanjung Balai, Asahan di Indonesia pukul 9 malam kelmarin.

Katanya, bot itu dipercayai membawa kira-kira 40 PATI Indonesia dan dipercayai menuju ke perairan Selangor.

Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia yang berpangkalan di Area Command Centre (ACC) Klang kemudiannya telah mengesan bot tersebut kira-kira pukul 12.20 tengah malam sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib.

“Ekoran itu, bot maritim Penggalang 10 yang dalam tugasan Ops Benteng telah digerakan bagi pemintasan dibantu bot PR4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum mengesan bot membawa PATI itu kira-kira pukul 2 pagi.

“Bagaimanapun, bot tersebut bertindak agresif dengan memecut laju dan tidak mengendahkan arahan berhenti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, bot penyeludup juga telah melakukan pergerakan merbahaya yang bertujuan meloloskan dari ditahan serta berusaha merapat ke kawasan pantai.

Justeru, Mohd. Rosli menegaskan, kedua-dua bot pasukan keselamatan kita bertindak menghalang bot penyeludup dengan menghimpit dan membayangi secara kejar buru sehingga ke laut lepas.

Langkah itu bagi menghindarkan bot berkenaan dari menuju dan mendarat di pantai.

“Sepanjang tempoh kejar buru hampir 90 minit itu didapati bot penyeludup masih berdegil untuk berhenti dan terus bergerak secara agresif dan merbahaya.

“Penggalang 10 dan PR 4 seterusnya melaksanakan tugas pengusiran dengan membayangi bot membawa PATI itu keluar dari perairan negara sepenuhnya kira-kira pukul 4 pagi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemantauan terus dilakukan oleh radar SWASLA bagi memastikan bot berkenaan tidak memasuki negara ini semula.

“Menyekat serta mengagalkan cubaan menyusup masuk PATI melalui perairan negara adalah satu keutamaan dan penanda aras bagi Maritim Malaysia.

“Ini sebagai usaha membanteras jenayah rentas sempadan termasuklah mengekang penularan Covid-19 melalui Ops Benteng,” tegasnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI