fbpx
Gambar hiasan

Usah malu bekerja untuk cari rezeki halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
ZUBAIDAH IBRAHIM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

JIKA sebelum ini, ramai anak muda memilih pekerjaan, jauh sekali ingin melakukan kerja kelas bawahan atau tidak setimpal dengan kelulusan akademik kera­na malu akan diejek.

Masing-masing mahu be­kerja dalam suasana sejuk di bawah pendingin hawa, bergaya segak dan memegang jawatan penting, tetapi landskap kehidupan kini telah berubah.

Apabila hidup dihimpit de­ngan ujian penularan Covid-19 sehingga peluang pekerjaan semakin sempit, ramai kehila­ngan kerja atau diberi cuti tanpa gaji, ia sekali gus mengubah cara anak muda berfikir.

Atas desakan hidup yang semakin memuncak, ramai orang termasuk anak muda sedaya upaya berikhtiar untuk meneruskan kehidupan dengan melakukan pelbagai pekerjaan walaupun terpaksa berpanas atau berhujan.

Ada yang gigih menjadi penghantar makanan dan membuka gerai di tepi jalan serta bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Ia merupakan perkembangan positif dan menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk meneruskan kehidupan dengan melakukan apa jua pekerjaan halal sementara menunggu peluang lebih baik pada masa depan.

Di laman sosial juga kita melihat ramai anak muda melakukan pekerjaan yang suatu ketika dahulu dianggap kurang glamor dan dipandang rendah.

Salah satunya ialah tular satu video gadis cantik berusia 22 tahun persis model yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Petaling Jaya sejak Mei lalu sehingga ramai terkejut dan tidak percaya.

Ramai netizen yang memuji gadis tersebut kerana tidak malu bekerja sebagai pengawal ke­selamatan walaupun masih muda dan cantik.

“Kerja apa pun yang penting halal, jangan memilih sangat, sekarang ini ramai orang hilang punca pendapatan.

“Abaikan mulut jahat orang, semoga awak berjaya,” kata salah seorang netizen di ruangan komen video gadis tersebut.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Kebangsaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid, sikap optimis yang ditunjukkan oleh anak muda itu sa­ngat baik sementara menunggu keadaan ekonomi kembali pulih secara berperingkat.

“Implikasi Covid-19 menyebabkan lebih 800,000 orang kehilangan mata pencarian sehinggakan graduan yang baru habis belajar tiada pilihan me­lainkan melakukan apa jua kerja.

“Sektor pekerjaan berada dalam keadaan pasif dan ke­a­daan ini tidak memberi peluang serta pilihan yang banyak kepada graduan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, anak muda boleh mencuba beberapa bidang di luar kemahiran yang telah dilatih di institusi pengajian tinggi untuk menimba pengalaman baharu.

Perkara tersebut penting untuk melatih diri menjadi seorang yang tabah, sabar dan mengasah pemikiran di luar konteks kebia­saan.

“Usah berasa malu kerana hasil titik peluh yang halal dan ikhlas akan mendidik kita menjadi lebih matang dalam mengurus kehidupan.

“Anak muda juga perlu menggunakan pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat termasuk pemerkasaan usahawan seperti pinjaman, bantuan nasihat dan teknikal bagi membuka perniagaan baharu,” ujarnya.-K! ONLINE

 

POPULAR

BERITA BERKAITAN